KEPUTUSAN Pas meneruskan kerjasama dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) menepati ramalan Umno.
Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata bagaimanapun Umno masih terbuka untuk berusaha menjayakan penyatuan ummah bersama Pas selagi berlandaskan prinsip keikhlasan dan kejujuran.
“Keputusan Pas Pusat untuk meneruskan bersama dengan PN bagi menghadapi PRU-15 sudah dijangkakan.
“Hakikatnya, Umno tidak pernah menutup pintu kepada sebarang usaha murni ke arah penyatuan ummah yang berteraskan nilai keikhlasan dan kejujuran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahmad Zahid bagaimanapun menegaskan, dengan keputusan Pas itu, Umno bersama Barisan Nasional (BN) akan terus bergerak solo dengan mengekalkan imej parti yang sentiasa berpaksikan kesederhanaan dan mampu menawarkan kestabilan dan kemakmuran kepada rakyat yang berbilang kaum dan agama dalam negara ini.
Terdahulu, Pas memutuskan akan terus mengukuhkan kerjasama bersama PN bagi menghadapi PRU-15 ini.
Keputusan itu sekali gus menoktahkan spekulasi yang tersebar sebelum ini bahawa Pas akan meninggalkan PN untuk bersama Umno dalam gagasan Muafakat Nasional (MN) bagi menghadapi PRU-15. – Malaysiapost

