“Satu logo, kebersamaan kita” – Tun M

0
1

TUN Dr Mahathir Mohamad, gembira semua komponen dalam Gerakan Tanah Air (GTA) bersetuju menggunakan lambang dan logo Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau yang juga Pengerusi Penaja GTA, menjelaskan masa sudah suntuk untuk gabungan itu memilih logo bagi menghadapi PRU-15 kerana pendaftaran GTA belum diluluskan lagi.

“Saya rasa berbesar hati kerana parti-parti komponen dalam GTA, pertubuhan bukan kerajaan (Ngo) serta orang perseorangan yang menyokong perjuangan kita, bersetuju dan bersedia mengguna lambang dan logo parti Pejuang dalam PRU-15.

“Memang kita mahu guna lambang dan logo GTA tetapi kerana pihak Pendaftar Pertubuhan belum meluluskan dan masa sudah agak suntuk, maka kita perlu memilih satu logo untuk memperlihat kebersamaan kita di dalam pilihan raya ini,” katanya dalam satu video di laman Facebooknya, hari ini.

Justeru, beliau berharap semua pihak dalam GTA dapat berusaha bagi memastikan kemenangan calon-calon gabungan itu kelak.

“Dengan ini besar harapan saya agar parti Pejuang, Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Ngo-Ngo dan orang perseorangan akan dapat berusaha bersama memastikan kemenangan calon GTA yang bertanding menggunakan lambang dan logo Pejuang,” katanya.

Dr Mahathir dalam satu sidang media semalam mengumumkan GTA akan memasuki PRU-15 menggunakan bendera dan logo Pejuang.

Menurutnya, GTA akan meletakkan lebih 120 calon di seluruh negara termasuk di Sabah.

Beliau berkata, GTA juga bakal meletakkan calon muda dan wanita sebagai strategi parti untuk memenangi PRU15, namun tidak menetapkan bilangan calon dalam kumpulan itu.

Katanya, GTA mahu meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita namun ia juga bergantung kepada bakat yang ada. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here