Ben Ibrahim
PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak sepatutnya menggunakan alasan tindakan 12 menteri Kabinet Perikatan Nasional (PN) menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai punca pembubaran Parlimen.
Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, kenyataan Ismail Sabri itu dilihat sebagai usaha untuk mengalihkan tumpuan rakyat kepada isu sebenar.
“Rakyat tahu alasan sebenar Ismail Sabri mahu mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat berpunca daripada tekanan dan desakan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Surat dikemukakan menteri PN itu hanya bagi menyuarakan kebimbangan rakyat agar PRU15 tidak diadakan dalam musim tengkujuh.
“Rakyat mahu kerajaan tumpukan kepada langkah pemulihan ekonomi, mengawal kenaikan harga barang dan peluang pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook miliknya hari ini.
Saifuddin berkata, PN sentiasa mendahulukan rakyat terutamanya dalam tempoh mencabar ketika ini.
Katanya, PN juga melancarkan Skuad Prihatin Nasional Isnin lalu yang dilakukan sendiri oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai persediaan berdepan bencana banjir.
Ismail Sabri semalam menyifatkan tindakan menteri dari PN mengutus surat kepada Agong mengakibatkan keharmonian dalam Kabinet terjejas.
Katanya lagi, tindakan itu juga dilihat sebagai membelakangkan institusi perdana Menteri selain menghakis semangat solidariti dalam Kabinet.
Menurutnya, tindakan itu jelas membelakangkan institusi Perdana Menteri dan pembubaran Parlimen terpaksa dilakukan bagi menghalang daripada tercetusnya ketidakharmonian dalam kerajaan. – Malaysiapost

