PKR pilih calon PRU-15 berdasarkan 5 bidang utama – Rafizi Ramli

0
1

PKR akan memilih calon-calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) berdasarkan lima bidang utama, kata Timbalan Presidennya Rafizi Ramli.

Menurutnya, ia bagi memastikan calon-calon yang diketengahkan adalah sesuai dan berwibawa untuk menyambung proses pencerdikkan dan pembaharuan di negara ini.

Beliau berkata, tumpuannya adalah memastikan kumpulan calon-calon berpotensi yang ramai dan disaring melalui proses yang objektif, seragam dan adil.

“Kita akan mengundi dalam tempoh lebih kurang sebulan dari sekarang. Jadi sudah tentu persoalan utama pengundi adalah bagaimana parti-parti politik memilih calon-calon yang akan diketengahkan.

“Kami faham pengundi menuntut mutu calon yang lebih baik dalam PRU kali ini. Sebab itu kami mahu proses saringan, penilaian dan pemilihan calon kali ini lebih telus, demokratik dan memberi peluang kepada seberapa ramai yang berkebolehan.

“Sudah tentu kita kena imbangkan antara kelayakan akademik, kebakaran dalam bidang-bidang tertentu dengan wibawa perjuangan seperti rekod berkhidmat dalam parti yang telah teruji, sumbangan kepada masyarakat dan seumpamanya,” katanya dalam satu video dimuat naik di laman Twitternya hari ini.

Rafizi berkata, lima bidang berkenaan adalah, 30 peratus berdasarkan rekod khidmat dalam parti mengambil kira sinioriti pencalonan rasmi daripada Cabang-cabang negeri Angkatan Muda Keadilan (AMK), Wanita dan sebagainya.

“20 peratus adalah prestasi kempen lapangan setakat ini untuk mengukur kekuatan jentera di bawah.

“Dan 20 peratus lagi adalah kewibawaan dan kesesuaian menjadi wakil rakyat mengambil kira kelayakan dan latar belakang akademik, pengalaman profesional dan kepakaran yang boleh membawa nilai tambah untuk menjadi wakil rakyat

“Manakala, 20 peratus lagi adalah sumbangan kepada masyarakat dan 10 peratus adalah capaian media sosial untuk mengukur keberkesanan berkomunikasi dan sebarang maklumat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here