PRESIDEN MUDA, Syed Saddiq Abdul Rahman hari ini memberi penjelasan mengapa parti diketuainya itu tetap bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ia di sebalik pertanyaan serta komen sinis netizen di Facebooknya yang bertanya mengapa MUDA tidak boikot saja PRU15 sedangkan beliau sering membantah ia diadakan ketika musim banjir.
“Dapat banyak komen yang kata ‘kenapa tak boikot PRU?’. Ceritanya macam ini. Ismail Sabri (Yaakob) dan Umno yang mati-mati nak adakan PRU awal.
“Pakar dah cakap hujung tahun ni akan ada banjir teruk, tapi mereka tak kisah pun pasal rakyat. Parlimen dah bubar, Umno panggil PRU, tak pula korang (kamu) tanya?
“Tergesa-gesa sebab nak selamatkan siapa? Mana lagi penting? Nyawa seorang Presiden parti atau ratusan rakyat? Nak boikot tak guna, nanti Umno menang macam tu saja,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Sehubungan itu, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, PRU15 inilah masanya untuk rakyat bangkit dan melawan Umno. – Malaysiapost

