‘Tanya Anwar, bolehkah beliau bekerja dengan saya’ – Tun M

0
1

TIDAK ada sebarang kemungkinan Gerakan Tanah Air (GTA) boleh bekerjasama dengan PKR menentang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi pada PRU15, berkata beliau tidak mempunyai sebarang isu untuk sekali lagi bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun menurut Dr Mahathir, Anwar yang mempunyai masalah untuk bekerja sekali lagi dengannya.

“Soalan ini sepatut diajukan kepada beliau (Anwar). Tanya dia bolehkan dia berkerja dengan saya?

“Masalahnya ialah dia tidak mahu bekerja dengan saya. Saya seorang yang baik,” katanya seperti lapor MalaysiaGazette.

Dr Mahathir menjawab soalan media selepas mempengerusikan mesyuarat dengan kepimpinan GTA hari ini, sama ada beliau akan mengadakan kerjasama dengan Anwar seperti yang berlaku pada PRU14.

Dr Mahathir yang keluar daripada Umno dan menubuhkan Bersatu telah menghulurkan tangan kepada musuh politiknya sejak tahun 1999, Anwar untuk menumbangkan BN.

Pada PRU14, Anwar yang ketika itu masih dalam penjara selepas menjalani hukuman buat kali kedua disebabkan tuduhan kesalahan moral, bersetuju untuk bekerjasama dengan Dr Mahathir bagi menumbangkan BN.

Pihak Anwar mendakwa persetujuan itu dicapai berikutan janji Dr Mahathir sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang Mahathir akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Presiden PH.

Selepas hampir dua tahun pemerintahan Dr Mahathir tidak menyerahkan jawatan tersebut sebagaimana dijanjikan dan menyebabkan pemimpin PH mendesak Dr Mahathir untuk mempercepatkan peralihan kuasa.

Bekas Perdana Menteri itu menegaskan beliau tidak akan menyerahkan jawatan itu sebelum sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang akan dianjur Malaysia November 2020.

Bagaimanapun, Dr Mahathir meletakkan jawatan tersebut pada Februari 2020 selepas berlaku ‘pemberontakan’ dalam PH dengan berpuluh Ahli-ahli Parlimen Bersatu diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin dan berbelas Ahli Parlimen PKR keluar daripada gabungan PH.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here