BN lupa siapa beri ‘nyawa’ – Bersatu

0
1

BARISAN Nasional (BN) lupa siapa yang memberi ‘nyawa dan oksigen’ untuk mereka bernafas kembali di Putrajaya setelah kecundang ditolak majoriti rakyat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata Umno dan BN bagaimanapun tidak insaf kerana pemimpin yang angkuh dan korup.

“Tanpa rakan politik untuk semak imbang dan memantau di Putrajaya sepertimana BN mendominasi kerajaan Pusat sejak merdeka hingga jatuh korup.

“Maka tidak hairanlah puak ini menolak malah mengecam seruan ke arah perpaduan ummah oleh PAS dan penyatuan nasional oleh Bersatu,” katanya menerusi kenyataan.

Mengulas lanjut, Muhammad Faiz berkata atas sebab tersebut Umno dan BN semakin dibenci oleh orang Melayu sendiri terutama generasi muda.

“Mereka rela bakar segala kelambu permuafakatan sesama bangsa hanya kerana taksub pemimpin tertinggi mereka serta asobiyyah kepartian yang melampau.

“Rakyat juga rata-rata berasa dukacita dengan payung negara yang diharapkan dapat mengekang hasrat keji kelompok minoriti itu yang masih berkiblatkan seorang banduan VVIP di Penjara Kajang.

“Sungguhpun begitu, rakyat redha bahawa baginda tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan dalam hal pembubaran Parlimen ini,” katanya.

Beliau berkata politik rakus, hipokrit dan kuno terus menjadi budaya Umno dengan menggunakan nama rakyat demi kepentingan sendiri.

“Kami warga Perikatan Nasional (PN) khususnya dari Bersatu akan terus istiqomah dengan prinsip perjuangan berteraskan semangat kebangsaan demi perpaduan rakyat marhain dan memperjuang integriti.

“Kami akan hadap apa jua dan sesiapa saja yang bersaing dalam PRU15 ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here