Tommy Thomas boleh didakwa atas empat kesalahan jenayah – Asyraf Wajdi

0
1

KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa pelbagai natijah berlaku semasa Tan Sri Tommy Thomas dilantik sebagai Peguam Negara ketika era pentabiran Pakatan Harapan (PH).

Menerusi hantaran di Facebooknya, Asyraf Wajdi, berkata ketika PH berkuasa, sistem keadilan dicabuli, selain ‘rakan-taulan’ termasuk kes pendakwaan melibatkan pimpinan utama gabungan itu ditarik atau dilepaskan.

“(Berlaku) pendakwaan terpilih terhadap musuh politik (selain itu) proses keadilan mula dipertikai dan diragukan. Cukuplah sekali (PH berkuasa),” katanya menerusi Facebook.

Asyraf Wajdi berkata, ketika kemuncak keangkuhan zaman Kerajaan PH, Tommy Thomas turut menari ‘twist’ bersama Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjun.

Beliau yang turut memuatnaik video itu memaklumkan, ia turut disertai barisan peguam lain yang pro-PH seperti bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenavasa dan aktivis, Siti Kassim.

“Tommy Thomas juga secara bongkak menulis dalam bukunya bagaimana beliau dan PM ke-7 mencatur perlantikan hakim-hakim termasuk Ketua Hakim Negara.

“(Malah) Laporan Pasukan Khas yang menyiasat isi kandungan buku Tommy Thomas juga mendapati dan mengesyorkan bahawa bekas Peguam Negara itu boleh didakwa menyalahi sekurang-kurangnya empat kesalahan jenayah.

“(Ia) termasuk melakukan ‘Forum Shopping’ yang menyanggahi Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta 695) kerana pemilihan hakim perlu dilakukan oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) bukan dicatur Peguam Negara bersama PM ke-7,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan agar siasatan lanjut segera dilaksanakan oleh agensi penguat kuasa berkaitan bagi menyiasat kemungkinan wujud salah laku oleh Tommy.

Arahan itu dibuat susulan pembentangan laporan oleh Pasukan Petugas Khas (PPK) Siasatan Ke Atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’, yang ditulis Tommy.

Berdasarkan siasatan yang telah dibuat, pasukan itu telah mengkategorikan 19 isu-isu penting yang dikesan dalam buku tersebut kepada empat isu utama.

Ia termasuk dakwaan ke atas badan kehakiman; pendedahan maklumat dan rahsia kerajaan; tindakan tidak sah, salah guna kuasa dan kecuaian profesional dan kenyataan berbaur hasutan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here