PEMUDA Umno menyifatkan pembubaran Parlimen hari ini adalah selari dengan pendirian sayap parti itu susulan keadaan politik negara tidak menentu, ketika ini.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pembubaran Parlimen dapat memberi laluan untuk negara mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekali gus mengembalikan mandat rakyat untuk memilih kerajaan yang lebih stabil.
“Menjunjung kasih Ke Bawah Yang di-Pertuan Agong atas perkenan Baginda untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU15 diadakan.
“Pembubaran ini bagi mengembalikan mandat kepada rakyat untuk mereka memilih sebuah kerajaan yang dapat menjamin kestabilan serta kemakmuran negara demi kesejahteraan mereka,” katanya di Facebook, hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, pembubaran Parlimen yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong ini pastinya telah mendapat pertimbangan yang sewajarnya daripada baginda.
“Sudah tentu Tuanku telah mengambil kira semua faktor termasuk setelah Tuanku sendiri mencemar duli turun mendengar sembah taklimat secara terus daripada Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengenai perkembangan terkini ramalan cuaca negara, Khamis lalu.
“Kini terserahlah kepada pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk menentukan tarikh PRU15 yang boleh diadakan sebelum pertengahan November, iaitu sebelum menjelangnya musim tengkujuh,” katanya.
Asyraf Wajdi turut menegaskan, jentera pemuda Umno dan Barisan Nasional (BN) sudah bersiap sedia menghadapi PRU15 termasuk sebarang kemungkinan berlakunya bencana banjir dalam tempoh itu.
“Pemuda Umno dan BN telah pun bersiap siaga termasuk mengerahkan semua jentera di 13,205 cawangan-cawangan seluruh negara dan sukarelawan-sukarelawan Skuad Sabil di 191 Parlimen untuk menghadapi PRU-15, di samping membantu rakyat sekiranya berlakunya musibah lebih awal daripada yang diramalkan,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam perutusan khas petang ini, mengumumkan pembubaran Parlimen yang berkuatkuasa hari ini. – Malaysiapost

