Laporan siasatan buku Tommy Thomas patut didedahkan untuk bacaan awam – Zaid

0
2

DATUK Zaid Ibrahim menggesa laporan siasatan pasukan khas tehadap buku bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas didedahkan untuk bacaan awam. 

Bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, rakyat berhak tahu intipati hasil siasatan itu dan tidak sepatutnya menjadi satu rahsia. 

“Saya ingin mencadangkan perkara penting untuk pertimbangan  Perdana Menteri dan juga kepentingan Umno iaitu supaya laporan jawatankuasa pasukan khas kerajaan mengenai buku Tommy Thomas itu didedahkan untuk bacaan rakyat Malaysia. 

“Jangan buat ‘official secret’, jangan buat perkara itu perkara rahsia,” katanya dalam klip video di Facebook, hari ini. 

Menjelaskan mengenainya, Zaid berkata, rakyat berhak tahu kerosakan yang dilakukan Pakatan Harapan (PH) ketika memerintah negara selama 22 bulan. 

“Mereka yang berusaha menutup isu ini adalah mereka yang mempunyai kepentingan menjaga keputusan-keputusan yang dibuat oleh Pakatan Harapan. 

“Mereka tidak mahu rakyat mengetahui bagaimana dahsyatnya kerajaan Pakatan Harapan dalam 22 tahun mereka memerintah. Menyalahgunakan kuasa mereka,” katanya. 

Justeru, Zaid menyeru 19 isu penting hasil siasatan pasukan khas itu didedahkan untuk bacaan umum kerana ini lah masanya rakyat tahu dan menjadi panduan kepada mereka untuk memilih BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini. 

“Jadi saya minta ianya jangan buat ia sulit, apa yang sulit sangat sebab ini semua laporan kerajaan pembangkang. Bukan laporan kerajaan BN. 

“Jadi siapa yang kita nak bela ni, siapa yang kita nak tutup rahsianya. Soal kapal Equanimity yang dijual bukan pada harga yang ditetapkan, siapa yang jual tu, kuasa mana yang diambil untuk menjual yang lebih murah. 

“Kita tahu Genting Berhad mendapat pelepasan cukai pelaburan, RM4 bilion lebih. Apakah ada kaitan pelepasan ini dengan Genting membeli kapal Jho Low tu. Apakah ada penyalahgunaan kuasa di sini dan banyak lagi dalam laporan pasukan khas ini,” katanya. 

30 September lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengarahkan siasatan lanjut terhadap kemungkinan salah laku Tommy dilaksanakan dengan segera.

Perdana Menteri, berkata pasukan petugas khas siasatan ke atas dakwaan dalam buku bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness”, sudah membentangkan laporan siasatan dalam mesyuarat Jemaah Menteri. 

Berdasarkan siasatan yang dibuat, pasukan khas itu mengkategorikan 19 isu penting yang dikesan dalam buku berkenaan kepada empat isu utama iaitu dakwaan ke atas Badan Kehakiman; pendedahan maklumat dan rahsia kerajaan; tindakan tidak sah, salah guna kuasa dan kecuaian professional dan kenyataan berbaur hasutan.

Semalam, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Lokman Noor Adam mendedahkan salah satu daripada 19 isu penting tersebut. 

Lokman mendedahkan, pengecualian cukai yang diberikan kerajaan PH kepada Genting Malaysia Bhd (Genting) bernilai RM4.8 bilion.

Beliau berkata, pengecualian bayaran cukai tersebut membabitkan pembelian kapal mewah Equanimity yang didakwa milik ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Katanya, terdapat sesi rundingan antara bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dan pihak Genting ketika Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here