
“KELUARGA Malaysia Pemangkin Kemakmuran” adalah tema yang amat sesuai diangkat bagi sambutan Maulidur Rasul tahun 1444H/2022M, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.
Menurutnya, ia melambangkan rakyat Malaysia semua sebagai sebuah keluarga, di mana para anggotanya tinggal dalam suatu tempat di bawah suatu rumah dalam keadaan saling bergantungan.
“Justeru, marilah kita mengambil semangat sempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini untuk terus bertekat menjaga keharmonian dan keamanan sejagat di negara Malaysia tercinta ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, Maulidur Rasul berasal daripada bahasa Arab yang membawa maksud kelahiran Nabi SAW.
“Kelahiran Baginda membawa rahmat kepada sekalian makhluk di seluruh alam dan merupakan utusan terakhir dalam menyebar syiar Islam.
“Rasulullah SAW adalah ikutan yang terbaik kepada kepada semua umat manusia dari segenap aspek kehidupan.
“Baginda juga merupakan ikon penyatuan ummah, hal ini boleh dilihat melalui sirah baginda nabi di bumi Madinah yang berjaya menyatukan Aus dan Khazraj melalui Piagam Madinah,” katanya. – Malaysiapost
