PRU15: Tumpu capaian internet berkelajuan tinggi di Sabah, Sarawak 

0
1

CAPAIAN internet berkelajuan tinggi di Sabah dan Sarawak perlu diberi tumpuan utama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

EXCO Puteri Umno, Sharifah Lydia Shariff Dandan, berkata akses internet itu penting bagi memastikan peluang untuk kemajuan digital adalah sama rata bagi semua aspek ekonomi mahupun sosial. 

Beliau yang juga Ketua Puteri Umno Bahagian Kota Marudu berkata, sudah berpuluh tahun rakyat di kedua-dua negeri itu dinafikan hak kepada capaian internet dan dianaktirikan oleh syarikat telekomunikasi yang menekan dan mengaut untung berbilion ringgit di atas akses talian yang sangat menyedihkan. 

“Sudah lama rakyat Sabah dan Sarawak terpaksa berputih mata dan pasrah dengan kelajuan internet yang sendu. 

“Pelbagai alasan sama ada dari pihak korporat, syarikat telekomunikasi mahupun agensi pelaksana Kerajaan Persekutuan dan negeri.  Semua sudah mengetahui yang kos infrastruktur yang tinggi hanya memfokuskan peluasan liputan di kawasan berkepadatan tinggi.” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Sharifah Lydia menuntut agar pelaksanaan infrastruktur 5G yang menyeluruh di Sabah dan Sarawak ditekankan sebagai salah satu agenda utama di dalam manifesto bagi PRU15 supaya semua rakyat dapat menikmati kesamarataan digital ke arah Malaysia yang lebih mapan dan lestari.

“Syarikat telekomunikasi telah lama mengaut keuntungan khususnya dari kawasan Sabah dan Sarawak dengan kadar bil yang tidak rendah namun kualiti capaian yang amat menyedihkan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here