Polis nafi Jho Low dikeluarkan dari Notis Merah INTERPOL

0
2

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menafikan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dikeluarkan daripada Notis Merah Polis Antarabangsa (INTERPOL) seperti didakwa di Twitter, baru-baru ini.

Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saadudin, mengesahkan menerima laporan polis mengenai hantaran berkenaan yang dimuat naik menerusi akaun Twitter @theborneoghost itu.

Katanya, ciapan di akaun Twitter terbabit mendakwa Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menyatakan Jho Low sudah dikeluarkan daripada Notis Merah INTERPOL, sebagai helah supaya individu itu kembali ke Malaysia.

“Itu berita palsu daripada pihak yang tidak bertanggung jawab dengan tujuan mewujudkan kegusaran awam.

“Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman kini sedang menjalankan siasatan mengenai perkara itu,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Noorsiah berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, iaitu fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Masyarakat dinasihat agar menjadi pengguna media sosial yang bijak dan tidak menyalahgunakan platform itu untuk menyebarkan berita yang tidak benar sehingga boleh menggugat ketenteraman dan keselamatan awam,” katanya.

Pada 13 Disember 2021, polis sudah memperoleh Notis Merah terhadap Jho Low daripada INTERPOL bagi membantu siasatan berkait penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here