BARISAN Nasional (BN) Kedah menasihati Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor supaya berhenti menunggang sentimen bola sepak untuk menaikkan ‘rating’ diri sendiri.
Pengarah Komunikasi BN Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, berkata pucuk pimpinan PAS perlu campur tangan untuk meredakan keadaan agar Muhammad Sanusi tidak melampaui batas sehingga mencetuskan krisis yang lebih besar.
“Saya berpandangan pucuk pimpinan PAS perlu tampil meredakan keadaan agar ianya tidak melampaui batas.
“(Ini kerana) dibimbangi terjadi krisis yang lebih besar dan serius, sudah lama kita menjaga ‘keseimbangan’ ini agar ianya sentiasa saling melengkapi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jelasnya lagi, sebagai Menteri Besar, Muhammad Sanusi seharusnya memberi fokus terhadap isu rakyat yang masih banyak belum diselesaikan.
“Mungkin ada sebilangan yang bertepuk tangan diluar gelanggang, sambil menjadi penonton, hakikatnya konflik yang bakal menjadi ‘krisis’ ini (sekiranya tidak dibendung) tidak akan menguntungkan sesiapa.
“Satu lagi yang agak menyedihkan adalah apabila melihat orang kiri dan kanan bertaraf EXCO Kerajaan Negeri tersenyum gembira melihat Menteri Besar mereka menjadi sudah tidak terkawal,” katanya.
Kelmarin, pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, meminta pemilik Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Daud Bakar agar menasihati Muhammad Sanusi, melalui komen di media sosial peribadinya.
Dalam komen itu, Tunku Ismail turut menggesa Muhammad Sanusi yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) agar dapat menjaga sikap dan menunjukkan keperibadiannya sebagai seorang Menteri Besar.
Susulan itu, Muhammad Sanusi semalam membidas perkara tersebut dan mendakwa pelbagai gelaran diberikan kepadanya hanya kerana bertindak mempertahankan sukan bola sepak di negara ini.
“Apa perasaan kamu kalau saya kata kamu lanun bola sepak?.
“Pemilik kelab JDT ini tak boleh orang kata pada dia, dia kata pada orang, apa pun tak apa. Kalau orang kata dia lanun bola sepak apa dia rasa?,” katanya. – Malaysiapost

