Rais Hussin umum keluar Bersatu

0
1

BEKAS Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff mengumumkan keluar parti berkuatkuasa hari ini.

Beliau yang juga bekas Pengerusi Biro Strategi dan Dasar Bersatu memaklumkan sudah menghantar surat rasmi peletakan jawatannya kepada pimpinan parti, semalam.

Rais Hussin berkata, beliau tidak lagi aktif dalam parti itu sejak 2020 selepas menjalani prosedur jantung dan banyak menumpukan kepada pembangunan EMIR Research sebagai badan pemikir bebas yang menumpukan kepada cadangan dasar strategik.

“Walaupun saya bukan lagi ahli Bersatu, saya akan giat meneruskan perjuangan saya untuk negara yang lebih baik dalam membantu lebih ramai rakyat berdasarkan lima prinsip teras iaitu reformasi, keadilan, keterangkuman, progresif dan wasatiyyah (pendekatan seimbang secara adil),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga antara pengasas Bersatu berkata mempunyai banyak kenangan dengan parti itu daripada peringkat awal sebelum penubuhannya sehingga berhadapan cabaran besar pada masa kini.

“Cabaran pada masa itu sangat besar, tetapi kami bersama membuat perkara mustahil untuk menghadapi semua rintangan,” katanya

Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) itu turut berterima kasih kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sentiasa memahaminya dengan lebih baik berbanding ahli lain.

“Suatu hari saya berharap akan membukukan pengalaman politik ini,” katanya yang turut merakamkan penghargaan kepada bekas Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here