Jangan undi ‘orang gila’ ajak PRU-15 musim banjir – MB Kedah

0
1

PENGUNDI di Kedah diminta tidak memberi sokongan kepada ‘orang gila’ yang mendesak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan ketika semua agensi kerajaan kini dalam persediaan menghadapi musim tengkujuh.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata terdapat pihak yang tidak mempedulikan amaran Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) yang meramalkan dijangka berlaku banjir besar akibat peralihan Monsun Timur Laut.

Beliau berkata, desakan itu dibuat ketika semua agensi Persekutuan dan negeri kini sedang membuat persediaan rapi menghadapinya termasuk sekolah-sekolah yang akan dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).

“Tiba-tiba ada ‘orang gila’ ajak buat pilihan raya, ini sejenis gila apabila ajak orang kempen dalam banjir. Dia kata pilihan raya dalam banjir sekalipun kita redah, mereka tak ada kerja hingga sanggup buat kerja ini.

“Apabila MetMalaysia kata banjir hingga Mac 2023, buatlah pilihan raya April. Masa itu semua orang boleh keluar mengundi. Kita pun senang berkempen, tak perlu selak kain lalu celah air nak berkempen ke rumah orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Jelajah Kedah Sejahtera Daerah Kota Setar di Masjid Nurul Ihsan, Langgar, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, keadaan menjadi sukar kepada semua pihak termasuk polis yang bertanggungjawab menjaga keamanan serta perlu menjaga pusat mengundi jika PRU-15 diadakan dalam keadaan banjir.

Beliau berkata, bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pula pembubaran hanya akan dilakukan selepas Mac tahun depan dan perkara itu sudah mendapat perkenan Sultan Kedah.

“Saya sudah sembah maklum kepada Sultan Kedah pada Selasa lalu, bahawa kerajaan negeri tidak akan bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga Mac 2023 dan hanya selepas itu boleh dipertimbang untuk bubar.

“Tuanku (Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah) titah kepada saya itu kuasa Menteri Besar dan terpulang kepada pertimbangan saya, maka DUN Kedah selamat tidak perlu pilihan raya sehingga tahun depan.

“Tetapi kerana mereka mahu bubar Parlimen juga, maka kita mungkin kena mengundi Parlimen. Jika pengundi rasa susah untuk mengundi (dalam banjir), maka jangan undi orang gila itu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here