DATUK Dr Radzi Jidin menzahirkan rasa syukur apabila usaha Kementerian pendidikan (KPM) untuk meningkatkan kadar Rancangan Makanan Tambahan (RMT) diluluskan dalam Bajet 2023.
Menteri Kanan Pendidikan itu berkata, peruntukan RM777 juta yang diumumkan Kementerian Kewangan, akan memberi manfaat kepada 813,393 murid penerima RMT.
“Syukur Alhamdulillah, usaha KPM untuk meningkatkan kadar RMT telah diluluskan dalam Bajet 2023.
“Kadar yang dulunya RM2.50 bagi Semenanjung kini dinaikkan kepada RM3.50. Bagi Sabah, Sarawak dan Labuan pula kadar dinaikkan daripada RM3 ke RM4.
“Kadar ini akan bermula bulan ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Terdahulu Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat mengumumkan RM777 juta diperuntukan untuk RMT.
Katanya, ia bagi memastikan murid mendapat kandungan khasiat harian.
Tengku Zafrul turut mengumumkan peruntukan RM1.1 bilion untuk selenggara dan membaik pulih sekolah, RM1.2 bilion untuk naik taraf bangunan dan infrastruktur sekolah daif khususnya di Sabah dan Sarawak.
Beliau juga mengumumkan peruntukan RM3.8 bilion untuk biasiswa dan pinjaman pendidikan, selain RM6.7 bilion bagi melaksanakan pelbagai inisiatif TVET, melalui Majlis TVET Negara. – Malaysiapost

