MALAYSIA tidak pernah membuat sebarang permohonan kepada China bagi membawa pulang Jho Low.
Low Taek Jho atau Jho Low yang masih bebas berada di luar negara menjadi individu buruan paling dikehendaki Malaysia berikutan menjadi dalang utama
skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Perkara itu didedahkan penulis bersama buku ‘Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood and the World’, Bradley Hope menerusi episod kelima program ‘Di Mana Jho Low’ yang disiarkan di platform aplikasi video YouTube hari ini.
Memetik sumber dalam kerajaan China, Hope berkata, tiada pihak di Malaysia yang benar-benar meminta China untuk mengembalikan Jho Low, walaupun laporan sebelum ini dinyatakan sudah ada usaha mendapatkan ahli perniagaan itu.
Dalam video berdurasi 12 setengah minit itu, Hope memaklumkan berdasarkan maklumat sumber dalaman kerajaan China, tiada sebarang permohonan dikemukakan pihak berkuasa sama ada polis, pejabat Peguam Negara, unit rasuah asing bagi mendapatkan ahli perniagaan dalam pelarian itu.
“Perkara paling menarik yang saya diberitahu sumber itu adalah dikatakan kepada saya ialah tiada siapa di Malaysia, sama ada polis, Jabatan Peguam Negara (AGC), unit rasuah asing, tiada siapa yang meminta China untuk Jho Low.
“Jadi, walaupun apa yang anda dengar secara terbuka, kononnya kami sedang mencari Jho Low, (namun) orang ini (sumber) menyatakan, tiada siapa di Malaysia yang mencari Jho Low.
“Penjelasan mereka adalah pada asasnya, terdapat terlalu ramai orang berkuasa di Malaysia yang berkaitan dengan Jho Low yang belum benar-benar diterokai sepenuhnya, wang yang mereka terima, kaitan hubungan mereka.
“Tiada sesiapa di Malaysia yang benar-benar mahukan Jho Low kembali. Apa yang dilakukannya satu ‘ledakan’ terlalu besar, semua yang dia lakukan dan tahu boleh menjejaskan di Malaysia,” katanya.
Wright dan Hope melancarkan saluran Youtube melalui Project Brazen pada 31 Ogos lalu, selepas melancarkan kempen untuk membongkar lebih lanjut mengenai Jho Low selepas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dipenjarakan.
Dalam siri pertama Youtube itu, kedua-dua penulis mendedahkan mendapat maklumat Jho Low berada di China dengan gambar ahli perniagaan itu dilihat berada di pusat perjudian di negara itu.
Wright berkata dengan pendedahan itu sudah pasti rakyat Malaysia “sangat marah” kerana tiada pihak yang menuntut atau membuat tindakan lanjut mengenainya.
Dalam video hari ini, Hope mendakwa sumbernya juga memberitahu Jho Low mempunyai “perjanjian jelas” dengan Beijing untuk diberikan kebebasan bergerak dan tiada campur tangan dari negara asing ketika beliau berada di China.
Wright dan Hope mendakwa Jho Low mendapat perlindungan daripada China kerana terbabit dalam projek inisiatif ‘Belt and Road’ di China ketika era pentadbiran Najib.
Kedua-duanya juga mendakwa bahawa Jho Low kini menetap di tanah besar China sejak Najib jatuh dari tampuk kuasa, malah keluarganya yang berasal dari Pulau Pinang kini berpangkalan di Hong Kong.
“Jadi semua aset mereka dan segalanya kini berada di Hong Kong dan mereka kini penduduk Hong Kong. Mereka menjalani kehidupan seperti biasa di Hong Kong,” kata Hope.
Sebelum ini dilaporkan China berulang kali menafikan dakwaan bahawa mereka melindungi Jho Low.
September lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mengulangi komitmen pasukan keselamatan untuk terus mengesan ahli perniagaan dalam buruan itu dan membawanya ke muka pengadilan.
Beliau juga menggesa mereka yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Jho Low menghubungi pihak polis.
Sementara itu, memetik Berita Harian, dilaporkan seorang pegawai kanan polis mengesahkan nama Jho Low tiada dalam senarai Notis Merah Interpol kerana jenayahnya tidak dilihat sebagai mengancam nyawa atau keselamatan awam.
Menurut sumber polis, pihaknya sedang mencuba sedaya upaya untuk mengesan Jho Low dan membawanya ke muka pengadilan.
Difahamkan sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion diselewengkan daripada dana 1MDB oleh Jho Low dan beberapa pegawai peringkat tinggi yang menguruskan dana itu serta sekutu mereka.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) cuba mengesan dan membawanya pulang ke negara ini, namun usaha pihak berkuasa itu setakat ini masih belum berhasil.
Jho Low berdepan saman AS$3.78 bilion atau RM16.82 bilion yang difailkan oleh 1MDB dan empat anak syarikatnya. -Malaysiapost

