TINDAKAN 12 menteri Perikatan Nasional (PN) mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung isu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) boleh dilihat seolah-olah sudah hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata menurut Klausa 4 Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan, seorang Perdana Menteri yang sudah hilang kepercayaan majoriti, boleh menasihati Agong untuk membubarkan Parlimen atau meletakkan jawatan.
“Apakah tindakan 12 Menteri PN mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong boleh dianggap hilangnya kepercayaan anggota kabinet terhadap Perdana Menteri? ,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Asyraf Wajdi bagaimanapun berkata, beliau yakin Perdana Menteri lebih bijaksana untuk membuat keputusan yang selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Apa pandangan pakar Perlembagaan mengenai isu ini?,” soalnya.
Semalam, seramai 12 menteri daripada Bersatu dan PAS mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung pendirian gabungan itu tidak mahu PRU15 diadakan tahun ini.
Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, yang mengesahkan perkara itu memaklumkan PN berpendirian kebajikan rakyat adalah perkara penting yang perlu diberikan tumpuan ketika ini. – Malaysiapost

