ATM sahkan 20 anggota tentera disiasat kes rompakan di laut

0
1

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan laporan 20 anggota tentera disiasat bagi membantu polis berhubung kes rompakan berkumpulan di Semporna.

Ia melibatkan dua insiden berasingan, masing-masing pada 15 dan 18 Ogos lalu.

Justeru, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata pihaknya menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa.

Pada masa sama, tegasnya, ATM akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam membantu siasatan untuk proses tindakan selanjutnya.

“Ditegaskan bahawa ATM tidak berkompromi dengan mana-mana pihak dalam isu melibatkan sebarang jenayah atau pelanggaran disiplin terutama di kalangan warga ATM.

“Ketegasan ini penting kerana ia boleh mencemarkan imej ATM sebagai sebuah organisasi yang mendukung konsep integriti dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan oleh negara.

“Semua pihak juga diminta tidak membuat sebarang spekulasi atau sebarang kenyataan yang boleh mengganggu proses siasatan kes berkenaan,” katanya menerusi kenyataan.

Semalam, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan 20 anggota tentera ditahan kerana disyaki terlibat dalam dua rompakan laut di Semporna.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata semua suspek ditahan susulan dua laporan diterima pihak berkuasa pada 15 dan 18 Ogos lalu.

Menurut beliau, penahanan itu dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa melakukan siasatan kes rompakan yang berlaku di Pulau Siamil, Ogos lalu.

Kedua-dua kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu rompakan berkumpulan.

Kesemua suspek sudah dijamin pada 25 September lalu namun siasatan lanjut masih dijalankan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here