Ben Ibrahim
SUDAH menjadi kebiasaan, bila sebut nama bandar raya Kuantan, ramai lebih mengingati kawasan pantai menarik, selain rekreasi air terjun dan deretan kedai ikan bakar di sepanjang perkampungan Tanjung Lumpur.
Namun sejak lebih 20 tahun lalu, restoran Singgalang Jaya terletak di Jalan Mahkota, sudah mencipta nama dan memikat selera penggemar masakan Minang yang berkunjung ke bandar raya itu.
Mula beroperasi tahun 2000, restoran diusahakan pasangan suami isteri, Johari Johan dan Rustina Dewi Rusli menjadi pilihan pelbagai kaum yang menetap di sekitar bandar raya Kuantan dan negeri jiran.
Johari, 59, berasal dari Bukit Tinggi, Sumatera Barat, manakala Rustina, 50, pula membesar di Kuantan sejak berumur tujuh tahun.
Menurut Rustina, terdapat lebih 20 jenis lauk disediakan setiap hari di kedai berkenaan untuk memenuhi selera pelanggan mereka.
“Semua masakan disediakan oleh saya dan suami dan kami mula memasak sekitar jam 7 pagi bagi memastikan semua menu tersedia untuk pelanggan menjelang tengah hari.
“Semua bahan digunakan untuk masakan, dibeli di sini, tidak ada yang diimport dari Indonesia.
“Antara menu paling digemari pelanggan ialah gulai tunjang atau dipanggil sup keting oleh penduduk tempatan,” katanya ketika ditemui di restoran itu.
Selain gulai tunjang, rendang daging dan limpa juga menjadi pilihan utama pelanggan restoran berkenaan.
Katanya, sebelum membuka restoran itu, dia dan suaminya pernah mengusahakan kantin di sebuah pusat peranginan di Pahang.
“Selepas beberapa ketika di sana, kami fikir kena buka restoran sendiri sebab sepanjang berniaga di pusat peranginan itu, kami tidak boleh menutup operasi walaupun ketika cuti umum.
“Jadi, dari situ kami ambil keputusan untuk mencuba nasib di Kuantan dan sejak Mei 2000 sampai sekarang, sambutan diterima sangat memuaskan,” katanya lagi.
Rustina menjelaskan nama Singgalang Jaya digunakan restoran terbabit adalah mewakili Gunung Singgalang yang terletak di Sumatera Barat, Indonesia dan sangat popular dengan masakan Minang.
Katanya, jenama Singgalang itu sendiri sudah menggambarkan menu disediakan restoran berkenaan dan menarik perhatian orang ramai.
“Pelanggan kami ada yang datang dari Singapura, mungkin mereka dapat tahu daripada rakan mereka yang pernah berkunjung ke sini.
“Mengenai jenis lauk digemari pelanggan pula, setiap kaum mempunyai citarasa berlainan.
“Biasanya orang Cina lebih gemar gulai ayam dan ayam masak merah, orang Melayu lebih suka daging dendeng, gulai tunjang dan limpa,” katanya.
Ditanya mengenai sama ada dia merancang untuk membuka cawangan baru selepas ini, Rustina berkata, perkara itu tidak pernah terlintas dalam fikirannya.
Katanya, sukar untuk mencari pekerja jika mahu membuka cawangan baru dan sekarang dia dibantu tiga anaknya untuk menguruskan restoran berkenaan.
Bagi peminat masakan selera Minang boleh mengunjungi restoran Singgalang Jaya yang dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 6 petang.
Restoran ini hanya ditutup jika berlaku hal kecemasan dan setiap pekerja diberi cuti rehat empat hari secara berturut-turut dalam sebulan. – Malaysiapost


