TIMBALAN Presiden PKR Rafizi Ramli menjangkakan Parlimen dibubarkan dalam tempoh beberapa hari lagi.
Menerusi ciapan di Twitternya Rafizi berkata, masa depan negara kini di tangan kira-kira enam juta pengundi muda dan yang kali pertama mengundi.
“Nampaknya Parlimen akan dibubar dalam beberapa hari. Nasib negara ditentukan pengundi-pengundi muda/kali pertama yang jumlahnya lebih enam juta,” ciapnya.

Justeru, Rafizi memaklumkan bahawa sesi ‘Townhall Pengundi Muda’ pada Sabtu ini berkemungkinan peluang terakhir untuknya dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah berjumpa dan bertukar pandangan dengan pengundi muda.
“Tidak ada ceramah, program bermula dengan anda bertanya dan kami menjawab. Atau anda bagi syarahan dan kami mendengar.
“Saya terlepas mengundi tahun 1999 dulu (walaupun sudah berumur 22 tahun) dan amanah mengundi itu saya pegang dengan serius sejak PRU 2004 hingga sekarang,” ciapnya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, esok.
“Pertemuan itu adalah rutin biasa bagi membentangkan keputusan dibuat dalam Mesyuarat Kabinet,” katanya.
Namun, spekulasi bertiup kencang mendakwa pada pertemuan itu Ismail Sabri akan memohon perkenan Agong untuk pembubaran Parlimen. – Malaysiapost

