KEBAJIKAN pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) anak-anak Padang Terap terus diberi perhatian.
Bagi meringankan beban kewangan mereka, sejumlah 385 anak-anak daerah itu yang menuntut di IPT awam dan swasta, menerima bantuan hampir RM150,000.
Bantuan disampaikan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang juga Ahli Parlimen Padang Terap, dalam majlis penyampaian sumbangan itu di Dewan SMK Kuala Nerang hari ini.

Dalam sidang medianya Mahdzir berkata, bantuan dalam bentuk kewangan itu adalah inisiatif untuk meringankan beban kewangan pelajar dan juga keluarga mereka khususnya kumpulan sasar golongan B40.
Ia selaras teras kedua konsep Keluarga Malaysia iaitu Kebersamaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa diberi keutamaan.
“Bantuan disampaikan kepada pelajar anak-anak Padang Terap hari ini telah kita berikan sejak tahun 2004 lagi dan akan diteruskan setiap tahun demi melihat anak-anak Padang Terap terus mencipta kejayaan,” katanya.

Tambah beliau, kejayaan dalam pendidikan sahajalah yang akan mengubah hidup individu dan keluarga mereka.
Justeru kata Mahdzir, kerajaan sentiasa memberi sokongan dan pelbagai bantuan kepada setiap pelajar bagi memastikan mereka mampu mencipta kejayaan dan membawa keluar keluarga mereka daripada kepompong kemiskinan.
“Selain bantuan kewangan, kerajaan turut menyediakan bantuan gajet menerusi Inisiatif PerantiSiswa yang sedang diagihkan kepada pelajar kumpulan B40 di seluruh negara.
Selain itu, bantuan yang disalurkan juga merangkumi pelajar-pelajar di dalam dan di luar negara dengan bantuan Elaun Sara Hidup (ESH) yang telah dinaikkan jumlahnya baru-baru ini,” katanya. – Malaysiapost

