“Fikirlah wahai rakyat Malaysia,” – Tun M

0
1
Tun Dr Mahathir Mohamad

PENGERUSI Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Umno yang telah ditolak rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dapat kembali berkuasa kerana ketamakan pemimpin Bersatu dan PKR.

Menurutnya, Umno kini akan terus menjadi kerajaan dengan menggunakan kuasa dan duit apabila boleh menetapkan tarikh PRU-15 yang akan memberikan kelebihan kepada parti itu.

Ahli Parlimen Langkawi itu mendakwa, Barisan Nasional (BN) ingin mengadakan pilihan raya awal bukan kerana mengutamakan hak rakyat, tetapi sebaliknya utamakan Umno untuk menjadi Perdana Menteri.

“PRU-15 awal kerana Belanjawan boleh dikemukakan tetapi parti lawan tidak dapat bahas. Banyaklah ‘gula-gula’ akan diberi supaya rakyat akan sokong BN (Umno).

“Hari ini kemenangan Umno boleh ditentukan. Menang PRU-15, akan menang PRU-16 dan 17 dengan mengguna kuasa dan duit kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mendakwa, tanpa mempedulikan kemungkinan banjir besar pada November ini yang akan mengakibatkan ramai tidak dapat mengundi, Umno tetap ingin mengadakan pilihan raya.

Menurutnya, ia kerana kerajaan akan tentukan penyokong Umno boleh mengundi dengan memberikan bantuan wang dan makanan terutama kepada kakitangan kerajaan.

“Dahulu jumlah pekerja kerajaan tak sampai sejuta. Dalam jangka masa beberapa tahun sahaja pekerja kerajaan meningkat 1.7 juta. Gaji pun naik berkali-kali. Akan naik lagi dalam belanjawan baru.

“Seramai 1.7 juta pegawai kerajaan dan keluarga tentu sokong kerajaan,” katanya.

Dr Mahathir turut mendakwa kesemua perancangan Umno itu adalah daripada bekas Presidennya Datuk Seri Najib Razak termasuk menggunakan pemimpin Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai boneka.

“Najib mengguna ketamakan pemimpin Bersatu dan PKR untuk mengalahkan Pakatan Harapan (PH) yang menang. Bersatu yang di-hijack gembira kerana jadi Perdana Menteri.

“Mana dia Bersatu. Tidak berkuasa lagikah? Dalam PRU-15 pun Bersatu tidak akan menang. Sebab? Tidak dapat sokongan Umno dan Pas,” katanya.

Beliau berkata, sesungguhnya ‘Langkah Sheraton’ memulakan ketidakstabilan politik dalam negara kerana sebelumnya semua kerajaan dipilih melalui PRU.

“Fikirlah wahai rakyat Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here