Pengasuh direman bantu siasatan kes bayi digigit di muka

0
1

POLIS menahan wanita tempatan berusia 43 tahun bagi membantu siasatan kes pengabaian seorang bayi perempuan yang mengalami kecederaan dengan kesan gigitan pada muka dan kesan pulasan pada telinga dalam kejadian di Taman Putra, Ampang.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata wanita terbabit yang juga pengasuh bayi berusia lapan bulan berkenaan ditahan kelmarin selepas ibu mangsa membuat laporan polis Jumaat lalu.

Menurutnya, ibu bayi berkenaan yang berusia 32 tahun dan bekerja sebagai pegawai bank, mendapati anaknya mempunyai kesan gigitan pada muka dan kesan pulasan pada kedua-dua telinga ketika mengambil bayi berkenaan di rumah pengasuh pada jam 7.40 pagi 30 September lalu.

“Ibu mangsa kemudian membawa anaknya ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan.

“Pada 1 Oktober jam 11.45 malam, sepasukan polis telah membuat tangkapan ke atas pengasuh bayi berkenaan di Taman Putra, Ampang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek mempunyai enam anak asuhan berusia antara tiga bulan hingga dua tahun.

“Suspek juga mempunyai dua anak kandung yang tinggal bersama, iaitu masing-masing seorang lelaki dan perempuan berusia 16 tahun serta lapan tahun.

“Suspek telah tinggalkan mangsa dan keluar rumah dan dipercayai anak asuhan yang lain telah menggigit muka mangsa,” katanya.

Mohamad Farouk berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana telah menganiayai kanak-kanak sehingga mengalami kecederaan fizikal.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM20,000 atau dipenjarakan tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.

“Permohonan reman di Mahkamah Ampang telah dibenarkan selama empat hari bermula semalam hingga 5 Oktober ini,” katanya. – Malaysiapost

Kredit foto: Polis Daerah Ampang Jaya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here