PRESIDEN Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pembangkang kini berdepan gelombang penolakan penyokong sendiri, yang jelas terserlah dengan sikap, kenyataan, dan tindak tanduk mereka.
Beliau berkata, pembangkang perlu mengekalkan sokongan yang telah hilang akibat konflik pimpinan mereka sendiri dan menyebabkan ahli ‘lari malam’.
“Ada yang mahu kembali menyertai Barisan Nasional (BN), ada yang kekal tak mahu berparti akibat trauma dengan Pakatan Harapan (PH).
“Ramai juga penyokong Pejuang dan Bersatu secara diam-diam menyokong BN dan ada yang kembali secara rasmi dan tidak rasmi. Inilah hakikat menjadi mimpi ngeri musuh politik BN ketika ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Zahid berkata, pembangkang yang kononnya menolak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini, sebaliknya menjelajah berkempen politik dan membawa naratif lemah mereka.
Ujarnya, naratif lemah berkenaan dengan cuba menyatakan bencana banjir akan berlaku seluruh negara, walhal PRU dan Pilihan Raya Negeri (PRN) pernah diadakan pada November dan Disember.
“Sifat ketakutan pembangkang terserlah apabila mengabaikan fakta dan hujah mengenai banjir dan pilihan raya. Nampaknya auta mereka semakin terserlah den menjadi jenaka negara.
“Pembangkang cuba bermain politik persepsi seperti PRU 14. Cubaan ini dapat dilihat apabila kecoh di media sosial mendakwa hujan lebat berterusan akan berlaku mulai pertengahan November ini dan akan berlaku banjir besar.
“Namun Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah menafikan perkara berkenaan dan menjelaskan bahawa ia kurang tepat,” kata Ahmad Zahid.
Dalam masa sama, beliau berkata perkara itu membuktikan betapa terdesak pembangkang takut berdepan dengan PRU15, kerana takut dihukum pengundi sendiri yang sedar apabila PH gagl melaksanakan manifesto.
Katanya, sebaliknya pembangkang sibuk berebut jawatan perdana menteri di antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga mengabaikan kebajikan rakyat.
Dalam kenyataan sama, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mendakwa pembangkang semakin dangkal apabila menggunakan isu perayaan Deepavali, Tahun Baru Cina, Hari Raya untuk mengelak PRU diadakan.
“Mereka lupa BN mempunyai pengalaman dalam mengatur dan mengendalikan pilihan raya dan tahu masa terbaik untuk mengadakan pilihan raya.
“Kedangkalan pembangkang juga apabila mencetuskan isu kos mengadakan pilihan raya. Pembangkang lupa kalau dilengahkan lagi pilihan raya kos akan semakin tinggi pula,” ujarnya.
Beliau berkata, tidak pernah berlaku kos pilihan raya semakin menurun setiap kali diadakan dan ianya adalah komitmen kerajaan untuk menyuburkan amalan demokrasi negara.
“Pihak kerajaan sentiasa prihatin untuk memastikan proses pilihan raya berjalan lancar, memberikan kemudahan kepada semua pihak yang bertanding dan memastikan amalan demokrasi berada dalam tahap terbaik.
“Kerajaan tidak pernah meminta SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) mengikat perut untuk memotong peruntukan SPR,” katanya.
Katanya, ia adalah tanggunjawab kerajaan memastikan SPR berjalan lancar dan melaksanakan pilihan raya secara terbaik untuk negara. – Malaysiapost

