Jangan bimbang amaran cuaca buruk oleh Kedutaan AS di Malaysia – MetMalaysia

0
2

JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menasihatkan orang ramai supaya tidak terlalu bimbang dengan amaran cuaca buruk yang dikeluarkan pada laman web rasmi Kedutaan Amerika Syarikat (AS) kepada rakyat negara berkenaan di Malaysia.

Ketua Pengarah MetMalaysia Muhammad Helmi Abdullah, berkata sebaliknya orang ramai dinasihatkan agar bersiap sedia sewajarnya dengan amaran cuaca buruk yang dikeluarkan.

“Pada setiap tahun negara mengalami Monsun Timur Laut (MTL) dan MTL 2022/2023 dijangka bermula pada pertengahan November ini dan berakhir pada Mac 2023.

“Orang awam dinasihatkan untuk bersiap sedia sewajarnya dan tidak merasa terlalu bimbang dengan amaran cuaca buruk yang dikeluarkan di laman web rasmi kedutaan AS kepada rakyat mereka di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemantauan cuaca dilakukan secara berterusan 24 jam sehari sepanjang tahun dan amaran cuaca dikeluarkan sekiranya dijangka berlaku ribut petir, hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora serta siklon tropika.

Beliau berkata, amaran cuaca berkenaan akan dihebahkan melalui pelbagai saluran kepada orang awam termasuk warga AS di Malaysia.

“Sehubungan itu, orang awam disarankan mengikut arahan agensi-agensi pengurusan bencana negara semasa kejadian banjir dan diminta untuk lebih peka dengan sebarang perubahan cuaca.

“Maklumat cuaca terkini boleh diperoleh melalui laman web iaitu www.met.gov.my, aplikasi myCuaca, media sosial rasmi Met Malaysia serta hotline di talian 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here