Sokongan Melayu merudum punca Umno mahu segerakan PRU15, dakwa Rafizi

0
2
https://www.facebook.com/photo/?fbid=550043319824368&set=pb.100044561133929.-2207520000..

PENURUNAN sokongan orang Melayu terhadap Umno merupakan sebab mengapa parti itu begitu terdesak untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) segera.

Perkara itu dinyatakan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, pada kempen ‘Ayuh Malaysia’ malam tadi.

Malah, bekas Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa tinjauan parti itu baru-baru ini mendapati sokongan Melayu terhadap Umno menurun daripada 27 peratus kepada 18 peratus.

“Data dalam dua tiga bulan lepas, dari Julai sehingga September menunjukkan sokongan orang Melayu kepada Umno jatuh merudum.

“Awal Ogos, bila kita telefon 2,500 orang pengundi Melayu, kita tanya kalau esok mengundi, you (awak) nak undi siapa.

“Bila kita tanya macam itu, sokongan kepada Umno di kalangan orang Melayu ialah 27 peratus. Nombor dua Perikatan Nasional (PN), nombor 3 Pakatan Harapam (PH). Lebih kurang 51 peratus belum buat keputusan.

“Awal Ogos (sokongan Melayu pada Umno) 27 peratus, sebelum skandal kapal tempur pesisir (LCS) meletup dan sebelum (Datuk Seri) Najib (Razak) ‘check in’ dekat ‘hotel’ Kajang.

“Awal September, lepas Najib dah ‘check in’, lepas LCS dah pecah, saya tengok (data) saya pun tak percaya.

“Saya tak pernah tengok sokongan kepada satu parti jatuh merudum dalam satu bulan, daripada 27 peratus sokongan awal bulan Ogos, jatuh kepada hanya 18 peratus (pada September),” katanya memetik laporan MalaysiaKini.

Rafizi berkata, kebimbangan utama pembangkang ialah mengadakan pilihan raya pada musim tengkujuh yang akan menyebabkan banyak nyawa terkobran.

“Saya nak jawab Umno, saya nak jawab (Datuk Seri Dr Ahmad) Zahid (Hamidi). Ini bukan soal takut pilihan raya. Soalnya banjir ini melibatkan nyawa. Kalau tengok yang berlaku dekat Amerika Syarikat, sekarang ini berlaku taufan yang merosakkan ratus ribu rumah.

“Kajian meteorologi sebut kekuatan taufan itu hanya berlaku sekali dalam 500 tahun. Memang Amerika biasa ada taufan tapi tak ada taufan macam sekarang.

“Saya tengok dalam CNN, dia lalu jambatan besar, jambatan itu terbelah dua.

“Taufan yang ada sekarang bukan macam taufan yang ada sebelum ini. Negara paling maju, paling hebat pun dia tak boleh buat apa, sebab di luar jangkaan manusia akibat bencana alam dan perubahan iklim yang kita tak boleh kawal,” katanya.

Menurut Rafizi lagi, disebabkan itu beliau mengingatkan kerajaan dan Umno supaya tidak mengambil mudah mengenai isu banjir.

“Seluruh kerajaan dari penjawat awam, polis, bomba, angkatan tentera, JPA sepatutnya tumpu untuk selamatkan rakyat.

“Yang kita kena kena bincang berapa banyak bot, sekolah mana yang kita nak gunakan untuk selamatkan rakyat. Ini yang kerajaan patut bicang,” katanya.

Semalam, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno membuat ketetapan supaya PRU15 akan diadakan pada tahun ini.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, susulan keputusan itu, Perdana Menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here