Bekas Menteri Agama teruskan kuliah dhuha sebelum solat jenazah anak

0
1
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

BIARPUN kesedihan kehilangan anakanda tercinta, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri tetap meneruskan kuliah dhuhanya sebelum melakukan solat jenazah pagi tadi.

Dalam hantaran di laman Facebook, Zulkifli berkata beliau tetap meneruskan kuliah dhuha kerana baginya ilmu adalah sesuatu yang mulia.

Beliau juga memetik kisah seorang ulama terdahulu yang setiap masa menuntut dan berkongsi ilmu meskipun ketika kematian anaknya.

“Jalsah ‘Ilmiyyah (kuliah dhuha) pada pagi ini pukul 9 pagi diteruskan seperti biasa sebelum solat jenazah anakanda saya pada pukul 9.45 pagi. Kemuliaan ilmu tidak ada galang gantinya.

“Al-Hafiz al-Munziri (wafat 656H) terkenal sebagai salah seorang ulama yang begitu tekun dengan ilmu,” katanya dalam hantaran itu.

Zulkifli berkata, ulama tersebut tidak akan sesekali meninggalkan madrasahnya untuk apa jua tujuan walaupun untuk berehat dan hidupnya hanya diwakafkan untuk ilmu.

Katanya Al-Hafiz al-Munziri solat jenazah untuk anaknya di dalam madrasah dan menghantar jenazah hingga ke muka pintu.

“Beliau lalu berkata ‘Wahai anakku, aku tinggalkan dirimu kepada Allah Ta’ala’ lalu beliau kembali masuk ke dalam untuk menekuni ilmu.

“Betapa ulama silam memuliakan ilmu walaupun anaknya meninggal dunia. Atas asas ini, saya teruskan kuliah pada pagi ini. Jemput hadir kepada semua,” katanya.

Terdahulu, Zulkifli memaklumkan anaknya, Hammad meninggal dunia awal pagi tadi.

Berita sedih itu dimaklumkan Zulkifli menerusi hantaran di Facebooknya memaklumkan Allahyarham anaknya itu menghembuskan nafas terakhir jam 5.22 pagi tadi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here