UMNO menyambut baik keputusan Kabinet yang mengarahkan siasatan lanjut dan tindakan perundangan segera dilaksanakan oleh agensi-agensi penguat kuasa berkaitan bagi menyiasat salah laku bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.
Setiausaha Agung Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, mesyuarat juga menggesa agar Laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan Ke Atas Buku Tommy Thomas bertajuk “My Story: Justice In the Wilderness” untuk segera didedahkan kepada umum.
“Ini penting bagi memulihkan imej dan integriti institusi kehakiman serta kedaulatan undang-undang negara, seperti contoh yang terdapat di dalam muka surat 342 buku tersebut yang berkemungkinan melanggar Seksyen 32 Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009,” katanya pada sidang media selepas berakhirnya mesyuarat MKT Umno, di Menara Dato’ Onn, malam ini.
Dalam pada itu, Umno juga menjunjung titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 15 Mei 2022 lalu, yang mahukan laporan siasatan pasukan petugas khas dalam isu kedaulatan Batu Putih untuk segera dibentangkan dan didedahkan kepada umum kerana ia membabitkan soal maruah dan kedaulatan negara.
Ahmad Maslan juga berkata, Mesyuarat MKT juga mengambil maklum berkenaan kunjungan Tan Sri Haji Abdul Hadi bin Awang, Presiden PAS bertemu dengan Presiden Umno baru-baru ini. -Malaysiapost

