Tindakan terkini waris Sultan Sulu cabul proses mahkamah

0
1
https://www.facebook.com/photo/?fbid=548105887108113&set=pcb.548106280441407

TINDAKAN terkini pihak mendakwa waris Kesultanan Sulu yang mengemukakan permohonan bagi mengiktiraf dan menguatkuasakan perintah di Mahkamah Belanda terhadap aset-aset Malaysia termasuk rangkaian aset milik Petronas, disifatkan sebagai pencabulan proses mahkamah.

Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, menegaskan Petronas bukanlah milik Kerajaan Malaysia dan cubaan mereka boleh dikatakan satu lagi tindakan mengambil kesempatan.

“Ia bertentangan dan melanggar peraturan timbang tara dan norma di bawah Konvensyen New York dan The United Nations Commission On International Trade Law (UNCITRAL).

“Pendirian Kerajaan Malaysia bahawa perintah dikeluarkan mahkamah di Paris pada Februari 2022 adalah tidak teratur dan tidak mengikut lunas undang-undang.

“Tambahan pula, perintah yang diperoleh sekiranya dikuatkuasa boleh mengakibatkan ketidakadilan serta implikasi serius kepada kestabilan negara lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Junaidi berkata, perintah dikeluarkan oleh penimbang tara adalah tidak sah dan tidak mengikut norma atas beberapa sebab-sebab tertentu.

“Sebagai contoh, tindakan mengalihkan proses pengiktirafan dan penguatkuasaan perintah yang diperoleh daripada Sepanyol ke Perancis walaupun Mahkamah Agung Madrid mengisytihar pembatalan pelantikan Penimbang Tara dan prosiding susulan timbang tara.

“Bagaimanapun, pihak mendakwa waris Kesultanan Sulu tetap meneruskan usaha menguatkuasakan perintah di negara-negara di mana Malaysia sedang melaksanakan tindakan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata, sebagai tindakan balas, Malaysia meneruskan prosiding Mahkamah di Perancis dan Sepanyol untuk mengenepi dan membatalkan perintah berkaitan.

“Kerajaan yakin bahawa penyelesaian prosiding mahkamah tersebut akan menyebelahi Malaysia.

“Selanjutnya, kerajaan telah memulakan strategi global yang proaktif untuk menghalang dan mengenepikan sebarang cubaan merampas atau campur tangan dalam urusan berkaitan aset Malaysia di luar negara oleh pihak mendakwa waris Kesultanan Sulu,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, kerajaan melaksanakan tindakan perundangan yang sama di Luxembourg dan akan mengambil tindakan serupa di Belanda untuk mengenepi dan menghalang sebarang cubaan oleh pihak mendakwa waris Kesultanan Sulu bagi menguatkuasa dan memperoleh faedah daripada perintah yang dikeluarkan mahkamah.

“Malaysia menghormati dan bangga menganggotai Konvensyen New York. Namun tidak sama sekali bertolak-ansur atau tunduk kepada mana-mana pihak yang memanipulasi dan menyalah guna sistem sedia ada demi kepentingan peribadi.

“Justeru, Malaysia akan terus mempertahankan kedaulatan dan asetnya di luar negara.” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here