Rasuah: Kerajaan Pulau Pinang diharap tidak terlalu ‘defensif’ – MCW 

0
1

KERAJAAN Pulau Pinang diharap tidak terlalu ‘defensif’ susulan pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa kes menerima suapan dan salah guna kuasa dalam kalangan penjawat awam di Pulau Pinang membimbangkan. 

Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) dalam kenyataan berkata kerajaan negeri wajar menerima kenyataan itu secara positif dan mengatur pelbagai langkah bagi memastikan masalah rasuah dapat dicegah segera dari terus merebak. 

Menurut MCW, pihaknya berpendapat kenyataan SPRM pasti mempunyai asas dan berfakta. 

Ini kerana katanya, pelbagai kes yang telah dilaporkan pastinya sedang disiasat dengan teliti dan ada yang telah dan akan dibawa ke mahkamah dalam masa terdekat. 

“Rasuah adalah masalah sejagat terutama di negeri maju kerana peruntukan atau jumlah perbelanjaan yang besar pasti membuka ruang dan peluang untuk berlakunya rasuah. 

“Ekonomi yang berkembang pesat di Pulau Pinang antara faktor penting mendorong rasuah semakin membimbangkan di negeri itu,” katanya. 

Sehubungan itu MCW berharap SPRM meneruskan usaha agresif membanteras rasuah di semua negeri demi memastikan ia dikawal terutamanya dalam sektor awam. 

“Segelintir penjawat awam kelihatan semakin berani melakukan rasuah akibat ketidakstabilan politik dewasa ini. 

“Hakikat bahawa rasuah di Malaysia termasuk di Pulau Pinang adalah seperti kanser sedang merebak adalah rahsia umum yang telah diketahui oleh segenap lapisan rakyat. 

“Pelbagai kaedah pencegahan kelihatan kurang berkesan kerana ketamakan telah mengatasi prinsip kehidupan yang berintegriti,” katanya lagi. 

Semalam Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata sebanyak 919 aduan diterima SPRM berhubung kesalahan menerima suapan, salah guna kuasa dan membuat tuntutan palsu dalam kalangan penjawat awam di Pulau Pinang sejak 2019. 

Azam berkata, daripada jumlah itu  sebanyak 312 aduan melibatkan kes menerima suapan manakala salah guna kuasa (147 kes). 

“Perkara itu membimbangkan kerana ia membabitkan salah guna kuasa seperti menggunakan jawatan untuk pemberian kontrak kerja kepada keluarga atau individu yang mempunyai pertalian darah,” katanya. 

Susulan itu Ketua Menteri, Chow Kon Yeow meminta SPRM mendedahkan jumlah kes rasuah dan salah guna kuasa melibatkan penjawat awam di negeri itu serta bilangan yang telah didapati bersalah. 

Kon Yeow berkata pihaknya mengalu-alukan siasatan SPRM terhadap sebarang kesalahan dilakukan penjawat awam negeri itu, selain meminta suruhanjaya berkenaan bertindak telus. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here