MESYUARAT Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang bakal berlangsung malam ini pastinya menjadi tumpuan orang ramai.
Mesyuarat akan dipengerusikan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu dijangka meletakkan agenda tarikh pembubaran Parlimen bagi memberi laluan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan pada tahun ini.
Namun, tumpuan pasti terarah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sama ada setuju menekan ‘butang’ pilihan raya seperti dikehendaki partinya.
Difahamkan, lebih 160 bahagian Umno di seluruh negara bersetuju agar PRU15 diadakan segera pada tahun ini sebelum musim tengkujuh melanda negara.
Sebelum ini, Perdana Menteri yang mempunyai kuasa membubarkan Parlimen membayangkan beliau tidak mempunyai ilham untuk mengadakan pilihan raya awal.
Bagaimanapun, Ismail Sabri menjelaskan, sebarang keputusan mengenai tarikh pembubaran Parlimen bergantung kepada perbincangan dalam kalangan pemimpin tertinggi Umno pada 30 September ini.
“Pada 30 September, petang ada (mesyuarat) Top 5 dan biro politik, malam ada MKT. Jadi kita tunggulah,” katanya.
Dalam pada itu, perkembangan positif ditunjukkan pemimpin ‘top five’ Umno yang sedang mengadakan pertemuan di Menara Datuk Onn, Kuala Lumpur, petang ini.
Perkara itu dikongsi Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Facebook miliknya dengan kapsyen, “Sedang perbincangan Top 5 Umno.” – Malaysiapost

