Tiada siapa mahu buat PRU15 musim banjir – Tok Mat

0
1
tokmat

TIMBALAN Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan membidas sikap pembangkang apabila mendakwa parti itu dan Barisan Nasional (BN) mahu melaksanakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ketika musim banjir.

Malah Pengarah Pilihan Raya BN itu menyindir pembangkang yang lagaknya seperti ahli nujum kerana boleh tahu bila banjir akan berlaku.

“Tiada siapa yang mahu buat (PRU15) musim banjir, macam mana pembangkang tahu ada banjir, mereka ada ilmu kasyaf?”

“Tiada siapa yang mahu buat musim banjir, macam mana pembangkang tahu ada banjir, mereka ada ilmu kasyaf? Kalau pun banjir bukan seluruh negara banjir.

“Kalau pun banjir misalnya di Kelantan, di kawasan yang terlibat banjir itu kita tangguhkan pengundian, selagi dalam 60 hari waktu diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), adakan selepas Parlimen bubar, pilihan raya umum boleh diadakan,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN mencadangkan supaya pengundian ditangguhkan di lokasi yang terlibat banjir.

“Kalau banjir takkan sampai dua minggu, misalnya di daerah Tampin, tiga ke empat kawasan banjir, kita tangguhkan dahulu

“Peti undi di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen dikunci supaya tidak mengganggu dan apabila kawasan peti undi tidak banjir lagi, katakan tiga hari sudah surut, kita buatlah pengundian,” katanya.

Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau berpandangan SPR mempunyai kuasa untuk menangguhkan pengundian di kawasan terjejas.

Katanya, sebagai manusia, Umno dan BN masih ada sifat prihatin terhadap mangsa banjir seperti lazimnya.

“Kami ini pun manusia juga, kalau banjir pun kami yang turun dahulu, Umno dan BN lah yang bertungkus-lumus turun. Janganlah ingat kami tiada sifat prihatin, kami lagi prihatin,” katanya.

Mengulas mengenai mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno esok, Mohamad memberitahu, tiada agenda yang khusus dalam mesyuarat tersebut.

“Ia laporan daripada jawatan kuasa pengurusan saya yang akan menerangkan keadaan semasa persiapan parti. Terdapat 53 bahagian yang telah dikenal pasti berada dalam keadaan kurang selamat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here