Muhyiddin, janganlah bersikap baling batu sembunyi tangan – Khaled 

0
2
khaled muhyiddin

SELAKU Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhak mengemukakan segala pandangan terhadap kerajaan, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. 

Bagaimanapun katanya, terpulang kepada kerajaan untuk mempertimbangkannya dan kerajaan juga mempunyai pelbagai aspek yang harus diambil kira. 

“Hanya kerana cadangan tersebut datang dari MPN maka tidak semesti dilaksanakan secara automatik,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini. 

Beliau mengulas kenyataan Muhyiddin menafikan dakwaan bahawa MPN ibarat ‘harimau tidak bertaring’ kerana setiap tindakan diambil adalah keputusan kerajaan, manakala majlis itu bersidang setiap bulan dengan membuat banyak perakuan. 

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau tidak berniat untuk menuding jari kepada sesiapa dan hanya mahu semua pihak sedar bahawa negara tidak berada dalam situasi yang baik pada masa ini. 

Menurut Muhyiddin, MPN tidak mempunyai kuasa pelaksanaan dan hanya bertindak sebagai badan penasihat kepada kerajaan. 

Pada masa sama katanya, segala perakuan MPN dibawa ke Kabinet untuk kelulusan sebelum dilaksanakan oleh kementerian atau agensi kerajaan yang berkenaan. 

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata Muhyiddin harus bertindak dalam semangat kolektif kerana beliau adalah sebahagian dari kerajaan. 

Tegasnya, sikap menuding jari jelas menunjukkan beliau hanya mampu menyalahkan orang lain atas kelemahan cadangan dan hasil kerjanya. 

“Beliau seolah lupa bahawa sebahagian besar masalah yang kerajaan hadapi sekarang adalah diwarisi dari kerajaan PN. 

“Jadi, janganlah bersikap baling batu sembunyi tangan. Saya percaya Perdana Menteri dan anggota kerajaan serta kakitangan awam sedang mencuba memberi yang terbaik bagi berhadapan segala masalah negara,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here