Polis minta orang ramai henti takutkan masyarakat dengan dakwaan kes culik kanak-kanak

0
3
https://www.facebook.com/photo/?fbid=392637159710635&set=pcb.392638509710500

RAKYAT Kelantan khususnya warga maya diminta supaya menghentikan perbuatan menyebar dakwaan kes culik sehingga menimbulkan ketakutan dalam masyarakat.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata dakwaan cubaan membawa lari atau menculik kanak-kanak di perkarangan sekolah yang berlegar-legar di laman media sosial sejak kebelakangan ini didapati tidak berasas.

“Beberapa posting yang dimuat naik dalam media sosial dan ditularkan telah mendorong Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya kontinjen Kelantan menjalankan siasatan”

“Dakwaan yang mengaitkan individu mencurigakan berada di perkarangan sekolah atau tempat tempat tertentu telah disiasat oleh pihak polis, namun semua dakwaan berkenaan tidak menjurus kepada situasi cubaan membawa lari atau menculik kanak-kanak” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, tindakan menyebar bahan atau perkara tidak berasas sehingga boleh menimbulkan kegelisahan awam dan ketakutan dalam masyarakat merupakan satu kesalahan.

Beliau berkata, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan (mendatangkan kegusaran awam) yang boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Tindakan juga boleh dikenakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM 50,000 atau penjara hingga satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Polis Kelantan pada 22 dan 26 September lepas telah menjalankan siasatan terhadap dakwaan cubaan menculik pelajar sekolah rendah masing-masing di daerah Gua Musang dan Pasir Puteh.

Hasil siasatan pihak Polis mendapati individu yang dikatakan berada di kawasan sekolah berkenaan tidak mempunyai niat untuk menculik sebaliknya mempunyai urusan lain.

Menurut Muhamad Zaki lagi dakwaan sama turut berlaku di daerah Kuala Krai baru-baru ini sehingga menimbulkan kebimbangan penduduk di daerah tersebut.

“Bila kita jalankan siasatan, rupa-rupanya individu yang dikatakan cuba menculik itu adalah kakitangan sebuah syarikat perkhidmatan penapis air yang mempunyai urusan untuk membuat kutipan bulanan dari pelanggan di situ,” katanya.

Muhamad Zaki berkata, kejadian seumpama itu turut berlaku di kawasan masjid Muhammadi, Kota Bharu pada awal September lalu, sehingga seorang lelaki kurang siuman menjadi mangsa keadaan apabila di belasah oleh orang ramai kerana disangka cuba menculik kanak-kanak.

Semalam pula tular sepucuk surat dari sebuah sekolah di Kelantan yang mengingatkan ibubapa menjaga dan mengawasi anak anak mereka sewaktu menghantar dan mengambil pulang anak anak dari sekolah, berikutan risiko menjadi mangsa culik.

“Pihak Polis telah menjalankan siasatan selepas tular dakwaan seumpama itu, namun ianya tidak benar dan tidak berasas apatah lagi yang mengaitkan mengenai sindiket mengambil organ kanak kanak dan sebagainya,” katanya.

Muhamad Zaki meminta orang ramai supaya merujuk sesuatu kejadian dan dakwaan itu melalui sumber sahih termasuklah dari pihak polis supaya tidak berlaku kekeliruan. – Malaysiapost

Kredit Foto: Polis Kontinjen Kelantan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here