PENDAKWAH terkenal, Ebit Lew tiba di pekarangan Mahkamah Majistret di Tenom, Sabah, kira-kira jam 9 pagi tadi untuk menghadiri perbicaraan kes gangguan seksual dihadapinya bermula hari ini sehingga 30 September.
Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 37, tiba dengan berpakaian serba hitam dan berkopiah putih dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Land Cruiser berwarna hitam.
Memetik Utusan Malaysia, ketibaan Ebit bersama sekumpulan individu yang hadir bagi memberi sokongan dan petugas media turut berada di perkarangan mahkamah seawal 8 pagi.
Pekarangan mahkamah turut dikawal oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ebit berhadapan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 41 tahun melalui aplikasi Whatsapp yang didakwa berlaku antara Mac hingga Jun 2021.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan
Dakwaan terhadap Ebit itu dilakukan susulan laporan polis yang dibuat pada 7 Ogos 2021. – Malaysiapost

