ANAK Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Nurul Hidayah kesal apabila ‘gurauan’ segelintir netizen yang mahu berjodohan dengan beliau dan adik perempuannya dijadikan tajuk artikel sebuah media.
Tegas Nurul Hidayah, perkara itu tidak boleh dijadikan gurauan kerana beliau dan adiknya sudah mendirikan rumah tangga dan juga mempunyai cahaya mata.
Katanya, mereka yang melakukan gurauan seperti ini disifatkan tidak sensitif dan hilang adab.
“Rasanya ramai kot yang tahu hukum bergurau macam ni dengan isteri orang. Ramai yang hilang adab.
“Saya dan adik saya sudah bersuami dan masing-masing punya tiga dan empat orang anak. Cakap siang pandang-pandang. Cakap malam dengar.
“Ada ke lelaki (suami) yang suka orang bergurau tentang mereka macam ni? Kalau isteri korang orang gurau macam ni suka atau marah?,” katanya.
Baru-baru ini, sebuah media melaporkan berita bertajuk ‘Ramai ingin berjodohan dengan anak Zahid Hamidi’, – selepas Presiden Umno itu memuat naik gambar bersama dua anak perempuannya.
Menurut laporan berita itu, ruangan komen gambar Ahmad Zahid bersama dua orang anak perempuannya itu membuatkan ramai ingin berjodohan dengan anaknya kerana terpesona melihat kecantikan anak pemimpin politik berkenaan.
Malah, orang ramai mula memanggil Ahmad Zahid di ruangan komen dengan gelaran ‘abah’, ‘ayah’ dan ada juga memaklumkan diri mereka sebagai ‘bakal menantu’ kepada anak perempuan beliau. – Malaysiapost
Difahamkan, Ahmad Zahid memuatnaik beberapa keping gambar termasuk bersama dua anak perempuannya kerana menjadi ‘tulang belakang’ beliau yang dilepas dan dibebaskan atas 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN), Jumaat lalu. – Malaysiapost

