Dr Mahathir, Muhyiddin ‘mengidam’ mahu kembali jadi PM – Zahid

0
2

TUN Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengidam mahu kembali menjadi Perdana Menteri walaupun sudah terbukti gagal selepas diberi peluang sebelum ini.

Perkara itu dinyatakan, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memandangkan kedua-dua mereka senada dalam ‘menyerang’ kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ahmad Zahid berkata, kedua-dua pemimpin itu terdesak berikutan takut dengan bayang-bayang sendiri selepas apa yang mereka lakukan terhadap lawan politik, dibimbangi boleh menggugat kepentingan masing-masing.

“Lagipun amat sukar untuk Malaysia mempercayai janji ‘recycle’ Dr Mahathir dia akan hanya jadi Perdana Menteri bagi tempoh yang singkat selepas PRU15.

“PRU14 dia berjanji hanya jadi Perdana Menteri untuk tempoh dua tahun sebelum menyerah jawatan kepada salah seorang sekutunya, namun semua tahu apa yang telah terjadi.

“Negara jadi kacau-bilau menyebabkan Barisan Nasional (BN) perlu masuk campur bagi memastikan kelangsungan pentadbiran melalui pembentukan kerajaan sementara,” katanya menerusi Facebook.

Justeru, Ahmad Zahid menasihati Dr Mahathir supaya muhasabah diri apabila tegar menuduh kerajaan sedia ada tidak memiliki pakar untuk mengatasi masalah ekonomi.

“Saksikan apa yang berlaku kepada ekonomi negara selepas 9 Mei 2018 sepanjang Malaysia dibawah pentadbiran kerajaan PH pimpinannya (Dr Mahathir) selaku Perdana Menteri ke-7.

“Selepas setahun PH memerintah kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjadi lebih rendah. Banyak perniagaan ditutup menyebabkan ramai hilang pekerjaaan.

“Dana-dana seperti Petronas, Khazanah Nasional dan Tabung Haji menyusut. Indeks Bursa pernah jatuh 300 mata ke bawah 1,600. Negara kembali bergantung terhadap rizab petroleum,” katanya.

Jelasnya lagi, aset strategik negara dijual untuk menampung perbelanjaan dan kerajaan pimpinannya tidak mesra pembangunan infrastruktur serta gagal menjaga hubungan diplomatik yang signifikan bagi ekonomi negara.

“Dasar ekonomi Malaysia yang progresif berubah menjadi regresif mengundur ke belakang. Bantuan kebajikan rakyat dikurangkan. Paling menyakitkan hati rakyat diminta berkorban dan ikat perut,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga menyifatkan dakwaan Dr Mahathir juga ibarat ‘menepuk air di dulang terpercik muka sendiri’ kerana menteri mengendalikan portfolio berkaitan pemulihan ekonomi ketika ini adalah bekas anggota Kabinetnya.

“Nama-nama yang sama berada dalam Kabinetnya semasa dia mengetuai kerajaan PH selama 22 bulan seperti Muhyiddin, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

“Justeru, Dr Mahathir dengan statusnya sebagai mantan PM Ke-7 yang gagal sama tidak layak seperti Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Muhyiddin untuk membuat dakwaan seperti itu,” katanya.

Kelmarin, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) mendakwa kerajaan hari ini lemah kerana tidak tahu bagaimana hendak mengurus negara khususnya dalam bidang ekonomi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here