Amaran angin kencang, laut bergelora di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang

0
2
laut bergelora

JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama, dijangka melanda perairan negara, khususnya Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Cuaca buruk itu turut dijangka melanda kawasan perairan Phuket dan Selat Melaka Utara dalam tempoh bermula Rabu hingga 1 Oktober ini.

Begitu juga di kawasan perairan Sabah Barat; Sabah Timur; Selatan Condore; Selatan Reef North; Labuan dan Sulu sehingga 30 September ini.

MetMalaysia menerusi hantaran di Facebook memaklumkan angin kencang barat daya berkelajuan 40 hingga 50 kilometer/sejam (kmsj) dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka di kawasan perairan berkenaan.

“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut,” katanya.

Selain itu, untuk perkapalan, MetMalaysia memaklumkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori kedua di kawasan perairan Utara Condore; Utara Reef North, Layang-layang dan Palawan.

“Angin kencang barat daya berkelajuan 50 hingga 60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka di kawasan terbabit sehingga Jumaat ini.

“Justeru, keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here