PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yasin tidak perlu beria-ia mengumumkan Barisan Nasional (BN) musuh utama Perikatan Nasional (PN).
Presiden Umno yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pengumuman itu sekadar menunjukkan kekalutan beliau untuk berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ini kerana katanya, rakyat sudah lama tahu Bersatu yang dipimpinnya sememangnya memusuhi BN, malah mempunyai objektif menamatkan BN.
“Segala bicaranya mengenai kerjasama dengan BN sebelum ini cumalah hipokrasi yang nyata dan kian terserlah tatkala PRU15 semakin menghampiri.
“Perlu difahami permulaan penubuhan PPBM (Bersatu) dengan ‘misi’ untuk bergandingan dengan Pakatan Harapan (PH) bagi melenyapkan BN khususnya Umno.
“Selepas gagal, PPBM mengubah taktikal mahu menguasai BN dalam usaha menyekat kebangkitan pemimpin Umno yang permah mereka zalimi,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata Bersatu juga menyasarkan agar BN berada di bawah telunjuk Bersatu bagi ‘diperkudakan’ untuk kepentingan politik mereka melalui perancangan ‘scheme of things’.
“Mujur sebahagian besar pimpinan BN termasuk Presiden Umno dapat menghidu muslihat tersebut walaupun tidak dinafikan ada juga segelintir yang terpedaya.
“Sebab itu kita tidak berasa pelik bukan PH diumumkan musuh utama PN walaupun Mahiaddin (Muhyiddin) pernah menyebut PH tidak selari dengan perjuangan orang Melayu, Islam serta rakyat Malaysia.
“Mungkin beliau masih berharap membawa PN bekerjasama dengan PH yang tidak selari dengan perjuangan Melayu, Islam serta rakyat Malaysia.
“Barangkali juga satu-satunya pihak yang sedang keliru dan celaru dengan pengumuman Mahiaddin tersebut adalah pimpinan tertinggi PAS,” katanya. – Malaysiapost

