RAKYAT perlu tahu perkara yang sepatutnya diketahui umum berhubung hasil siasatan pasukan petugas khas terhadap buku bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berjudul “My Story:Justice in the Wilderness”.
Namun, berita terbaharu yang dilaporkan portal Malaysiapost bahawa Jabatan Peguam Negara mengesyorkan pasukan petugas khas tidak mendedah hasil siasatan buku tersebut kepada umum menimbulkan tanda tanya.
“Kalau betul berita ini, maknanya adalah perkara yang perlu rakyat tidak boleh tahu. Bukan tak perlu tahu. Tapi tak boleh tahu,” catat Tan Sri Shahrir Abdul Samad di Facebook, hari ini.
Veteran Umno itu turut menyindir berhubung perkembangan baharu perkara berkenaan.
“Satu dunia dah baca apa yang Tommy Thomas tulis dalam bukunya itu. Hanya demi Keluarga Malaysia kot,” katanya.
Terdahulu, Malaysiapost memetik sumber melaporkan AGC telah mengemukakan syor berkenaan kepada kerajaan.
Berdasarkan syor yang dikemukakan, AGC berpendapat laporan pasukan petugas khas itu tidak wajar didedahkan kepada umum.
Bagaimanapun berdasarkan dokumen syor AGC yang dilihat Malaysiapost jabatan itu tiada halangan jika siasatan dilakukan oleh agensi penguatkuasa berkaitan bagi menyiasat kemungkinan salah laku dilakukan oleh Thomas. – Malaysiapost

