Cadang kajian masa sesuai PRU, Jazlan sifatkan Shahidan baru keluar gua

0
1

MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim disifatkan ketinggalan zaman susulan cadangannya agar dibuat kajian masa terbaik untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ini kerana kata Ketua Umno Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed, Umno dan Barisan Nasional (BN) telah lama membuat kajian mengenai perkara tersebut.

“Saya rasa dia ketinggalan kapal atau baru keluar dari Gua Batu Caves. Dia tak tahu ke Umno/BN sudah bertahun buat kajian, oh ya saya lupa dia bukan lagi duduk dalam Majlis Tertinggi (MT).

“Timbalan Presiden Umno (Datuk Seri Mohamad Hasan) pun sudah buat jelajah seluruh negara mengenai persediaan PRU15.

“Rakyat pun ramai yang setuju supaya PRU dibuat segera agar satu kerajaan yang kukuh dan stabil dapat ditubuhkan segera,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Baru-baru ini, Shahidan dilaporkan berkata suatu kajian perlu dilakukan bagi mengenal pasti masa sesuai untuk mengadakan PRU15.

Beliau berkata, banjir yang dijangka berlaku hujung tahun ini mungkin memberi impak kepada kehadiran pengundi jika PRU dijalankan.

“Terdapat keperluan untuk satu kajian mendalam sama ada patut diadakan pilihan raya tahun ini atau tahun depan.

“Jika Parlimen dibubarkan dan banjir melanda beberapa negeri, pastinya kita memerlukan caretaker atau kerajaan sementara untuk menangani isu berkaitan banjir, justeru terdapat kebaikan dan keburukan dalam mengadakan pilihan raya tahun ini dan tahun depan,” katanya.

Mengulas lanjut Nur Jazlan berkata, baginya apa yang patut dikaji adalah prestasi dan kelemahan menteri Kabinet termasuk Shahidan sendiri.

Ini kerana katanya, menteri Kabinet sekarang bukan pilihan Umno tapi pilihan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada tahun 2020 lalu.

“Sebab itulah rakyat sudah nampak ramai menteri yang tak ‘perform’, tak berfungsi dan hanya duduk selesa di kerusi empuk Putrajaya, sehingga keadaan ekonomi serta kebajikan rakyat semakin teruk. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here