SEORANG wanita warga asing yang juga pembantu rumah ditahan bagi membantu kes kecurian wang tunai majikannya sebanyak RM50,000 yang dilaporkan hilang pada 15 September lalu di sebuah rumah di Pandan Prima, Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata seorang wanita tempatan berusia 37 tahun membuat laporan mengenai kehilangan wang tunai yang disimpan dalam beg tangan dan diletakkan dalam stor rumahnya.
Beliau berkata, menurut mangsa yang juga suri rumah, duit yang hilang itu dikeluarkan pada 14 September lalu sebelum disedari hilang pada kira-kira jam 4 petang keesokan harinya.
“Duit yang hilang dikeluarkan daripada akaun syarikat milik suami wanita terbabit dengan tujuan untuk disimpan dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) milik anak-anaknya.
“Namun suri rumah itu tidak sempat memasukkannya kerana sibut dengan urusan perpindahan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, susulan daripada laporan itu pihaknya telah membuat tangkapan terhadap seorang suspek diperkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya pada jam 9 malam Rabu lalu.
“Tangkapan adalah seorang wanita warga asing berusia 58 tahun yang sudah bekerja sebagai pembantu rumah dengan mangsa selama kira-kira tujuh tahun.
“Tiada apa-apa rampasan dibuat semasa tangkapan dan suspek juga tidak melarikan diri serta masih bekerja selepas kejadian itu,” katanya.
Beliau berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan ujian awal air kencing negatif sebarang jenis dadah, namun suspek didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan bekerja tanpa permit.
“Reman terhadap suspek telah diperoleh selama empat hari sehingga esok dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan yang sah.
“Polis memberi amaran dan nasihat kepada orang ramai supaya menggaji pekerja asing mengikut undang-undang,” katanya. – Malaysiapost

