Ada kemungkinan wang suapan didakwa dibayar kepada Zahid dikongsi 3 saksi penting

0
2

Nahar Tajri 

MAHKAMAH Tinggi Shah Alam mendapati kemungkinan wang suapan didakwa dibayar kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, diagih antara tiga saksi utama pendakwaan berikutan gaya hidup mewah mereka yang didedahkan ketika prosiding mahkamah sebelum ini.  

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa berkata ruangan “remarks” dibiarkan kosong pada lejar syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) menimbulkan kemungkinan itu seperti dicadangkan oleh peguam bela.  

Mahkamah mendapati kemungkinan wang berkenaan diagihkan antara tiga saksi utama pendakwaan iaitu bekas Pengarah UKSB, Harry Lee Vui Khiun – saksi pendakwaan ke-15, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani (saksi pendakwaan ke-16) dan bekas pengurus pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun (saksi pendakwaan ke-17).  

Dalam penghakiman yang dibaca selama dua jam, Mohd Yazid berkata, mahkamah membuat kesimpulan berdasarkan kepemilikan harta saksi saksi terbabit yang memiliki satu unit hartanah di Pavilion di mana Wan Quoris juga memiliki seunit banglo di Putrajaya, satu unit kediaman semi-d di Cyberjaya, dua kenderaan Range Rover dan motosikal mewah serta membayar cukai berjuta-juta ringgit. 

Mohd Yazid berkata, tanpa bukti sokongan yang kukuh, beliau tidak boleh membuat penemuan bahawa wang berkenaan sebenarnya diterima oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi seperti dicadangkan pihak pendakwaan berdasarkan transaksi direkodkan dalam lejar (tanpa bukti rekod) melalui tanda nota ‘Z’ dan ‘ZH’. 

“Saksi (Vui Khun dan Wan Quoris) dalam keterangan mereka ketika disoal balas bersetuju tiada bukti bebas yang menyokong keterangan mereka bahawa wang itu sebenarnya dibayar kepada tertuduh (Ahmad Zahid). 

“Amat mengejutkan bahawa Siong Sun iaitu individu yang membuat lejar UKSB, mengakui ketika disoal balas bahawa penyerahan kedua wang suapan berjumlah RM3 juta yang dimasukkan dalam sebuah bagasi adalah keterangannya yang difikirkan kemudian. 

“Pengakuan saksi utama pendakwaan itu adalah lebih daripada mencukupi bagi mahkamah  untuk memutuskan bahawa beliau adalah seorang saksi yang langsung tidak berwibawa,” katanya.  

Beliau berkata, David Tan dalam keterangannya memberitahu mahkamah beliau merekodkan pembayaran pada hari sama atau sehari kemudian, bagaimanapun ditunjukkan bahawa hampir kesemua komentar pada kolum dalam lejar itu dibiarkan kosong. 

“Vui Khiun juga bersetuju bahawa komentar pada  kolum di lejar tidak menggambarkan bahawa  wang berkenaan dibayar kepada tertuduh,” katanya. 

Mohd Yazid berkata, pendakwaan juga gagal  mengemukakan bukti Kamera Litar Tertutup (CCTV); gagal memanggil pemandu kepada tiga saksi utama, pengawal di kediaman Ahmad Zahid di Sri Satria dan Country Heights; dan gagal mengemukakan bukti slip transaksi Touch and Go, log panggilan telefon dan mesej dengan tertuduh.  

Terdahulu Mohd Yazid melepas dan membebaskan Ahmad Zahid selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie. 

Keputusan di akhir kes pendakwaan dibuat selepas mahkamah selesai mendengar keterangan 18 saksi di mana pendakwaan menutup kesnya pada 11 Ogos lalu, dalam prosiding perbicaraan yang berlangsung 33 hari bermula 24 Mei tahun lalu. 

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 tuduhan menerima suapan SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu, bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan VLN. 

Sementara, bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1.15 juta, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau ketika itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here