Kenyataan Zahid dimanipulasi untuk wujud kebencian rakyat terhadap BN 

0
2

PEMIMPIN Pakatan Harapan (PH) didakwa cuba memutarbelit ucapan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ketika musim banjir.

EXCO Pemuda Umno, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin yang menyelar tindakan itu, berkata kenyataan Ahmad Zahid telah dimanipulasi untuk mewujudkan kemarahan rakyat terhadap BN sekali gus tidak mengundi parti itu pada PRU15.

“Apa yang dimaksudkan Ahmad Zahid semasa program bersama Pemuda BN itu, ialah sekiranya BN menang PRU15 ataupun kalah sekalipun kita tetap akan turun padang membantu mangsa banjir dan bukannya turun beramai-ramai mengundi masa banjir.

“Jadi, saya harap rakyat tidak terperangkap dengan mainan politik PH yang memanipulasikan kenyataan Ahmad Zahid demi untuk kepentingan politik sempit mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelasnya, ucapan Ahmad Zahid itu telah dipetik hanya sebahagian oleh pemimpin PH seolah-olah membawa maksud BN sanggup meredah banjir semata-mata untuk mengadakan pilihan raya.

“Inilah masalah pemimpin PH yang suka memutarbelit kenyataan pihak lain, mereka tidak boleh lari daripada bersikap seperti itu, wajah PH penuh dengan manipulasi, kata-kata pemimpin PH tidak lekang dengan putar belit.

“Janganlah cuba hendak mengelirukan rakyat menerusi manipulasi dengan niat untuk menimbulkan kebencian,” katanya.

Muqharabbin berkata, pemimpin PH jelas ketandusan isu sehingga terpaksa memetik ucapan Ahmad Zahir secara di luar konteks dan memanipulasikannya.

Tegas Muqharabbin, rakyat kini lebih bijak dan tahu menilai sesuatu secara matang tanpa perlu dimomokkan dengan kenyataan yang berbaur hasutan ke arah kebencian.

“Bagi saya biarlah rakyat sendiri menilai akan sesuatu, kerana saya yakin rakyat dan juga pengundi hari ini lebih bijak dan memahami segalanya.

“Kita tidak perlu lagi berpolitik secara emosi dengan cuba mewujudkan unsur-unsur negatif dalam pemikiran rakyat dan pengundi”, katanya.

Ahmad Zahid ketika melancarkan Jentera Pemuda BN baru-baru ini dilaporkan berkata, BN sanggup meredah banjir dan hujan lebat, jika PRU15 diadakan tahun ini.

Beliau menyifatkan isyarat yang diberikan ahli parti supaya PRU15 diadakan dalam masa terdekat ini adalah jelas dan nyata.

Bagaimanapun, ucapannya itu mengundang kecaman pelbagai pihak termasuk Presiden Amanah, Mohamad Sabu, yang menyifatkan pilihan raya ketika musim banjir akan menyusahkan orang ramai dan perbelanjaan agensi kerajaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here