SEORANG lelaki warga asing ditahan di Seremban, Negeri Sembilan, Isnin lalu selepas pemeriksaan polis menemui bahan pornografi kanak-kanak di dalam komputer riba dan telefon bimbitnya .
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata tangkapan dilakukan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Menurutnya, tangkapan membabitkan lelaki warga asing berusia 24 tahun yang juga seorang pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi.
“Pemeriksaan lanjut ke atas suspek menemukan sejumlah besar bahan pornografi kanak-kanak di dalam komputer riba dan telefon bimbitnya.
“Hasil siasatan mendapati suspek telah menggunakan aplikasi media sosial untuk berkomunikasi dan memerangkap mangsa serta melakukan ugutan bagi mendapat bahan berunsur seksual (sextortion),” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Beliau berkata, kesemua mangsa adalah terdiri daripada kanak-kanak di luar negara.
Menurutnya, kejayaan penahanan suspek tersebut adalah hasil kerjasama erat antara PDRM dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS).
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban untuk pertuduhan pada hari ini mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih 30 tahun dan sebatan.
“Suspek juga akan didakwa mengikut Seksyen 10 akta sama dengan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya,” katanya. – Malaysiapost

