TERDAPAT 27 kerusi Parlimen yang berisiko kalah sekiranya berlaku pertembungan calon parti-parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Perkara itu didedahkan oleh Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menegaskan ia perlu dibincangkan kedua-dua gabungan bagi mengelakkan kemenangan Pakatan Harapan (PH).
“Kita akui ada 27 kerusi Parlimen yang berisiko pertembungan. Kalau berlaku perlawanan dua-dua tak akan menang yang akan menang PH.
“27 kerusi ini seperti pepatah ‘kalah jadi abu, menang jadi arang’ tiada gunanya..mesti duduk bincang elok-elok supaya kita boleh menyekat kemenangan PH,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Projek Pemuliharaan Sungai Dungun, di Dewan Sivik Bijangga, Kuala Dungun, Terengganu, hari ini.
Menurutnya, Pas sedia berunding untuk kerusi-kerusi tersebut supaya dapat diteliti bersama dengan Umno.
“Tetapi Pas adalah komponen dalam PN jadi kita akan bawa apa-apa perbincangan kepada PN..kita akan bawa mandat PN dalam perbincangan itu,” katanya yang mengakui beberapa perjumpaan tidak rasmi berhubung perkara itu sudah diadakan.
Sementara itu bercakap mengenai keputusan Pas untuk meneruskan kerjasama dengan Umno, beliau berkata ia adalah keputusan parti dan tidak timbul soal Pas nak memecah belahkan Umno.
“Soal Umno, parti itu perlu membuat keputusan mengenainya dan Pas tidak boleh buat keputusan bagi pihak Umno.
“Umno akan bincang runding dan apa-apa keputusannya kita bersedia. Dalam PN kita bersedia untuk menghadapi pilihan raya dan jentera pilihan raya juga sudah bersedia,” katanya. – Malaysiapost

