SEORANG pemimpin Umno mendakwa Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli takut kepada pengaruh Facebook Datuk Seri Najib Razak.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi turut menyifatkan Rafizi hipokrit apabila menjaja kononnya bekas Perdana Menteri itu mendapat layanan umpama ‘merpati’ di penjara selepas melihat Facebook Najib masih aktif.
Namun sebaliknya, katanya, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini juga pernah dipenjara dan mendapat banyak keistimewaan seperti didakwa Rafizi kepada Najib.
“Sudahlah takut, hipokrit pula. Rafizi dakwa Najib ada akses bebas kepada dunia luar dan mendapat layanan umpama ‘merpati’ di penjara.
“Sebenarnya Rafizi takut pada FB Najib. Penjara berjaya lemahkan sebahagian kekuatan media sosial Umno. Sebab itu Rafizi bawa cerita fitnah bila FB Najib diaktifkan.
“Dia gunakan WhatsApp tidak bernama jaja cerita kononnya Najib dapat layanan istimewa di hospital dan bilik penjaranya diubah suai.
“Rafizi hipokrit. Anwar duduk di Hospital Rehabilitasi Cheras selama enam bulan. Semasa di penjara dia juga boleh melawat saudara mara yang sakit dan meninggal dunia,” kata Mohd Puad menerusi hantaran di Facebook.
Mohd Puad berkata, Rafizi menggunakan taktik dan propaganda itu kerana takut akan pengaruh Najib dan cuba menjatuhkan bekas Perdana Menteri itu melalui fitnah.
“Rafizi kata Anwar ada pengesahan sakit oleh pakar. Tahukah dia, Najib di hari pertama ke hospital, diberi ubat yang salah, dinafikan hak masuk wad dan dihantar semula ke penjara.
“Rafizi memang takut pada FB Najib. Senanglah dia berbohong dan memfitnah,” katanya.
Semalam, Rafizi menyatakan tulisan di Facebook Najib tidak menggambarkan keadaan kesihatannya yang teruk.
Rafizi berkata, bekas Perdana Menteri itu kelihatan seperti mempunyai akses bebas kepada dunia luar, yang mungkin mengesahkan dakwaan berkaitan layanan istimewa kepada ‘merpati’ di penjara. – Malaysiapost

