PRU boleh diadakan tahun depan – Syed Saddiq

0
2
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

PILIHAN Raya Umum (PRU) yang dikatakan akan diadakan dalam masa terdekat tahun ini dan dikhuatiri berlaku ketika musim tengkujuh serta negara dilanda banjir hanya akan menyebabkan kemarahan rakyat.

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata banjir besar yang berlaku pada Disember 2021 sepatutnya menjadi pengajaran.

Menurutnya, ketika itu rata-rata rakyat marah kerana bantuan lambat daripada kerajaan dan koordinasi tidak selari hingga mengakibatkan rakyat seolah-olah hidup dihujung tanduk menunggu untuk diselamatkan.

Beliau berkata, rakyat perlu diutamakan dan PRU boleh diadakan pada tahun depan selepas keadaan semua sudah reda.

“Utamakan rakyat bila susah. Tak perlu tanya rakyat. Lihat sendiri banjir lepas. Bila bantuan sampai lambat, bila Menteri senang lenang adakan majlis potong kek.

“Rakyat-rakyat ada yang terperangkap dalam rumah untuk beberapa hari. Ada yang kena selamatkan diri duduk atas bumbung.
Ada juga yang maut bila nak cuba selamatkan diri. Gunalah logik akal,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, ketika negara dalam krisis, fokus utama adalah untuk membantu rakyat.

“Bukan tak boleh nak adakan PRU tahun depan lepas semua dah reda. Rakyat tak sanggup nak hilang orang tersayang dan harta benda lagi,” katanya.

Sementara itu dalam satu ciapannya di Twitter berhubung perkara sama, Syed Saddiq berkata semua pihak tidak mahu kemusnahan yang berlaku akibat banjir sebelum ini seperti di Karak berulang kembali.

”Kemusnahan disebabkan banjir dan balak di Karak. Saya tidak mahu ia berulang kembali dan saya yakin bukan saya seorang merasakannya.

“Namun apa yang lebih buruk adalah terdapat pihak tertentu yang lebih mementingkan kuasa daripada mengutamakan rakyat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here